Lanjutan PKP boleh bantu lindungi industri, kata Persatuan Komponen Auto - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lanjutan PKP boleh bantu lindungi industri, kata Persatuan Komponen Auto

Lanjutan PKP boleh bantu lindungi industri, kata Persatuan Komponen Auto

07 Feb 2021

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang baru-baru ini dilanjutkan sehingga ke 18 Feb akan membantu melindungi industri ketika ia mula mencatatkan pemulihan tahun ini, kata Persatuan Pembekal Perodua (P2SA).

Presidennya Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata walaupun situasi pandemik COVID-19 masih terus menjadi kebimbangan utama bagi 129 ahlinya, PKP 2.0 dijangka mampu mengawal situasi tersebut sehingga program vaksinasi bermula.

“Kebanyakan ahli kami berada di Selangor tetapi mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan dengan komunikasi berkesan antara ahli kami dan pengeluar peralatan tulen (OEM) kami, kami percaya kami akan dapat mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini.

“Objektif utama kami adalah untuk memastikan keselamatan setiap orang, dan pada masa yang sama melindungi kelangsungan hidup kita. Satu-satunya cara untuk mencapainya adalah dengan bekerjasama dengan kerajaan bagi mengurangkan jumlah jangkitan kes COVID-19, terutamanya di kawasan perindustrian,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Musa Zahidin berkata, P2SA dan Perodua akan bekerjasama untuk mewujudkan SOP bagi keseluruhan ekosistem automotif.

Menurutnya, SOP yang mematuhi prosedur keselamatan ketat di tempat kerja, asrama pekerja yang menyediakan tempat tinggal yang selamat bagi kakitangan dan menawarkan ujian COVID-19 bergilir bagi kesemua pekerja, antara lainnya.

“Sekarang ini, kami bekerjasama bersama-sama untuk memuktamadkan amalan terbaik ini dengan belajar daripada sebarang kesilapan atau malahan kejayaan dalam menangani krisis ini setakat ini,” katanya.

Beliau menegaskan semua vendor mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam operasi mereka masing-masing dan pemantauan ketat akan dilakukan oleh sebuah kumpulan yang dianggotai ahli-ahli P2SA serta wakil daripada Perodua.

“Tidak boleh ada sebarang kesilapan kerana nasib industri dan apa yang lebih penting kesihatan negara kita bergantung kepada komitmen kita dalam mematuhi SOP ini,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata pengumuman  Perodua baru-baru untuk membeli komponen tempatan bernilai  RM6.5 bilion pada  2021 – lebih RM500 juta daripada RM6 bilion yang diperuntukkan pada 2020 – telah memberikan harapan bahawa 2021 akan menjadi tahun pemulihan bagi industri.

“Kami berterima kasih kepada Perodua atas komitmennya terhadap ekosistem dan ini akan dapat memastikan peserta tempatan terus bertahan terutamanya vendor tempatan ketika kita mendepani pandemik ini,” kata Musa Zahidin.

Beliau berkata sasaran jualan keseluruhan industri sebanyak 570,000 oleh Persatuan Automotif Malaysia bagi tahun ini juga merupakan satu lagi petunjuk positif bahawa industri dan ekonomi sedang menujuk ke arah hala tuju yang betul.

“Pandemik ini bersifat sementara dan kita hanya perlu bertahan sedikit masa lagi ,” katanya.

 Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon