Laporan: Prospek Ekonomi Malaysia 2023 kekal memberangsangkan meskipun berdepan pelbagai cabaran – Tengku Zafrul
07 Okt 2022
Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2023 kekal memberangsangkan meskipun berdepan dengan cabaran global yang ketara seperti tekanan inflasi, ketidaktentuan ekonomi serta perubahan iklim, demikian menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Justeru, katanya kerajaan akan terus mengukuhkan sokongan fiskal dan meneruskan pendirian fiskal yang mengembang untuk merangsang aktiviti ekonomi bagi mengekalkan momentum pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang diunjur antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada 2023.
Tengku Zafrul berkata dasar fiskal Malaysia yang responsif dan bertanggungjawab telah membolehkan kerajaan menerajui pembangunan ekonomi negara secara konsisten dan mengatasi cabaran COVID -19.
“Bajet 2023 dirangka untuk menyediakan persekitaran yang kondusif dan memastikan keseimbangan antara keperluan ekonomi dengan konsolidasi fiskal bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, memupuk agenda kemampanan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Objektif tersebut dapat dicapai dengan memastikan keseimbangan antara perbelanjaan berhemah di samping mencorak masa hadapan melalui rangka kerja fiskal yang pragmatik,” jelas beliau dalam prakata Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan pada Jumaat.
Kerajaan mengutamakan pemulihan pada 2022 manakala untuk 2023, tumpuan diberikan untuk membina momentum pembaharuan bagi meningkatkan daya saing dan daya tahan negara.
Strategi fiskal kerajaan adalah untuk memperkukuhkan pemulihan dan menyokong pembaharuan sebagai objektif utama dalam memacu Keluarga Malaysia ke arah kemampanan daya tahan sosioekonomi.
“Tindak balas dasar kerajaan juga akhirnya bertujuan menggalakkan tanggungjawab bersama pada setiap peringkat masyarakat dalam memperkasa komuniti perniagaan, masyarakat sivil dan rakyat untuk bekerjasama bagi membina Malaysia yang lebih baik dan mampan,” tambah beliau.
Tengku Zafrul berkata menuju ke hadapan, kerajaan akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal melalui pelbagai langkah termasuk menambah baik tadbir urus fiskal, memperluas asas hasil dan mengoptimumkan perbelanjaan.
Menurutnya, langkah seperti Strategi Hasil Jangka Sederhana dan Semakan Semula Perbelanjaan Awam akan menyediakan ruang fiskal tambahan manakala Akta Tanggungjawab Fiskal bakal memperkukuh tadbir urus fiskal dan membolehkan kerajaan melaksanakan langkah kitaran balas dan mengekalkan daya tahan ekonomi.
Kerajaan juga katanya akan terus menyediakan dasar yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan pewujudan pekerjaan untuk rakyat di samping melaksanakan pembaharuan dalam memastikan kemampanan fiskal jangka masa panjang.
“Kita komited untuk mengekalkan hutang statutori Kerajaan Persekutuan di bawah had statutori 65 peratus kepada KDNK. Kerajaan juga akan melaksanakan strategi pengurusan hutang yang bertujuan untuk memastikan ruang fiskal mencukupi bagi mengurangkan impak kejutan ekonomi atau situasi luar jangka,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran global, kerajaan tetap bertekad untuk memperkukuh kedudukan fiskal secara responsif, bertanggungjawab dan bersifat pembaharuan dalam melaksanakan dasar negara, tambah beliau.
Sumber: Bernama