M-WEZ sasar jadi penyumbang ekonomi utama Melaka
08 Apr 2021
‘Melaka Waterfront Economic Zone’ (M-WEZ) menyasarkan untuk merancakkan sektor maritim negeri agar menjadi penyumbang ekonomi utama kepada Melaka, disokong oleh kedudukannya sebagai pelabuhan laut dalam.
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata M-WEZ akan menggalakkan pembangunan pelabuhan kontena, kargo am, terminal pelayaran dan feri, zon perdagangan bebas, hab logistik, terminal minyak dan gas, operasi kapal ke kapal (STS) serta kemudahan pemindahan.
“Operasi STS ini akan membolehkan eksibiliti perkapalan yang lebih tinggi dan mengurangkan kos untuk pengirim,” katanya pada majlis pelancaran M-WEZ di sini hari ini.
Beliau berkata zon ekonomi itu akan merangkumi lima kluster iaitu Pelabuhan Melaka, Nukleus Logistik Pintar, Perbandaran Satelit Digital, Taman Perniagaan Eco Sentral dan Nukleus Perbandaran Baharu Perdagangan.
Sulaiman berkata zon itu juga akan mempunyai kawasan baharu yang didedikasikan untuk produk pelancongan, zon bebas cukai, pusat membeli-belah, pejabat, hotel, kediaman dan industri Revolusi Industri 4.0.
“Kami akan menyediakan rang undang-undang mengenai penubuhan Perbadanan M-WEZ, yang akan memetakan dasar, hala tuju dan strategi dalam pembangunan koridor berkenaan,” katanya.
Kerajaan negeri juga sedang memuktamadkan rangka tindakan untuk melayani pelan induk itu mengenai pembangunan zon tersebut.
Selain itu, beliau berkata M-WEZ, yang akan menarik lebih RM100 bilion pelaburan global dalam tempoh 15 tahun, dijangka menjana lebih daripada 20,000 pekerjaan setiap tahun yang akan memberi keutamaan kepada penduduk tempatan.
Zon ekonomi itu juga akan menyumbang sekurang-kurangnya 5.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar tahunan negeri atau bersamaan RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun.
M-WEZ sasar jadi penyumbang ekonomi utama Melaka Beliau ketika mengulas mengenai pembiayaan untuk zon ekonomi berkata kerajaan negeri akan membawa perkara itu kepada kerajaan persekutuan pada mesyuarat mereka yang akan datang iaitu menjelang Mei 2021.
Sementara itu, Sulaiman berkata negeri itu menjangkakan pelaburan baharu akan mencecah RM5 bilion pada 2021 yang melibatkan gergasi semikonduktor Jerman, Inneon Technologies yang telah berjanji untuk melabur sebanyak RM3.25 bilion di Malaysia, khususnya di Melaka sehingga 2029.
Sumber: Bernama