MAHB peruntuk capex sehingga RM700 juta bagi inisiatif Lapangan Terbang 4.0
27 Ogo 2021
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) antara RM600 juta dan RM700 juta untuk inisiatif digital Lapangan Terbang 4.0 bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata sebahagian besar daripada peruntukan itu akan dibelanjakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun pertama pelan itu berikutan ia melibatkan menaik taraf kemudahan utama yang memberi tumpuan kepada keselamatan, pengalaman penumpang, operasi lapangan terbang dan inovasi tenaga kerja.
Beliau berkata pengendali lapangan terbang itu setakat ini telah menyelesaikan pemindahan rangkaiannya kepada seni bina rangkaian teras yang baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), dengan kos hampir RM50 juta, untuk memanfaatkan teknologi terkini seperti 5G, WiFi6 dan Internet of Things.
MAHB akan turut melaksanakan teknologi pengecaman wajah biometrik yang memberikan sehingga enam kali kecekapan semasa mendaftar masuk, serahan bagasi layan diri serta aplikasi mudah alih MYAirports yang dipertingkatkan pada akhir tahun.
“Kami ingin mempunyai ekosistem digital yang bersepadu sepenuhnya yang akan membolehkan kerjasama dan hubungan maklumat kami pada masa nyata di semua lapangan terbang kami.
“Kami ingin mempunyai pengalaman penumpang yang selamat dan bertaraf dunia di lapangan terbang kami dan memastikan aset kami dapat dijalankan dengan cekap dan mengoptimumkan proses yang kami miliki,” katanya kepada pemberita pada sesi “In Conversation with Malaysia Airports” yang diadakan secara maya pada Jumaat.
Mengulas mengenai pemulihan industri penerbangan tempatan, Mohd Shukrie berkata industri dapat mencapai paras sebelum pandemik pada suku pertama 2024 atau paling awal pada akhir 2023.
“Saya agak pasti industri tidak akan kembali kepada paras sebelum pandemik pada tahun depan,” katanya, sambil mengunjurkan Turki akan mencapai paras sebelum pandemik lebih cepat daripada Malaysia berdasarkan trafik penumpangnya yang tinggi.
Mengenai pembukaan semula sempadan, katanya MAHB sudah bersedia dan sentiasa bersedia untuk menerapkan keyakinan penumpang bagi menikmati perjalanan yang selamat.
MAHB telah menerima Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang global daripada Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) untuk KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) di Turki.
Langkah-langkah keselamatan di lapangan terbang ini berdasarkan standard global mengikut garis panduan Memulakan Semula dan Pemulihan Perniagaan Penerbangan ACI dan saranan Majlis Pasukan Petugas Pemulihan Penerbangan (CART) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bersama dengan amalan terbaik industri.
Dalam perkembangan lain, katanya MAHB telah memuktamadkan cadangan untuk perjanjian pajakan tanah baharu KLIA yang lebih menarik dan dapat menangani isu menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta hak pembangunan.
Syarikat akan turut mengemukakan cadangan mengenai pelan pembangunan semula Subang yang telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan, katanya.
Kedua-dua cadangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi, katanya.
“Apabila diluluskan, kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membangunkan tanah di sekitar KLIA pada masa depan.
“Di bawah perjanjian operasi semasa dan perjanjian pajakan tanah yang kami miliki, ia tidak begitu kondusif dari segi menarik pelabur.
“Ia akan menjadi tempoh yang lebih lama berbanding pada masa ini yang agak pendek selain terma-termanya akan menjadi lebih mesra untuk menarik FDI dan untuk kami juga,” katanya.
Sumber: Bernama