Mahsuri labur lebih RM250 juta bina kilang kicap, sos - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Mahsuri labur lebih RM250 juta bina kilang kicap, sos

Mahsuri labur lebih RM250 juta bina kilang kicap, sos

18 Mei 2023

Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri), pengeluar produk makanan jenama tempatan melabur lebih RM250 juta bagi membangunkan kilang pembuatan baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan yang dijangka dijangka memulakan operasinya pada awal 2025.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata kemudahan pembuatan terkini itu bakal meletakkan jenama berkenaan sebagai perintis dalam pengeluaran sos kicap di rantau ASEAN dengan menggunakan teknologi Mesin Pembuat Koji jenis Rotary.

“Kami mengumumkan bahawa Mahsuri bakal mengoperasikan sepenuhnya kilang pembuatan baharu yang terletak di Bandar Enstek.

“Kilang baharu seluas 24,000 meter persegi ini akan dilengkapi dengan kemudahan untuk pembuatan, gudang, makmal untuk jaminan kualiti, pusat penyelidikan dan pembangunan, pejabat dan fasiliti sosial,” katanya kepada media selepas majlis pecah tanah kilang baharu Mahsuri di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Industri, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Datuk Dr Mohamed Rafie Ab Malek; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhamad Nahar Mohd Sidek; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan; Datuk Najmuddin Sharif Sarimon; dan Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri, Datuk Ahmad Tajuddin Idris.

Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, kilang pembuatan baharu itu membolehkan Mahsuri untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menyediakan produk berkualiti tinggi yang diperakui halal.

“Ini juga akan meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan Mahsuri pada masa akan datang, selain membolehkan kami memberi pengalaman yang baik kepada pengguna di dalam dan luar negara.

“Kilang pembuatan baharu ini akan dijadikan tempat untuk memproses produk yang diperakui halal di pasaran tempatan serta pasaran luar seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja, India dan Timur Tengah,” katanya.

Beliau menjelaskan, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Mahsuri akan menerokai pasaran Amerika Syarikat (AS) secara beransur-ansur bagi menempatkan produk ‘Buatan Malaysia’ ke pasaran global.

“Dengan kilang baharu yang dibina di Negeri Sembilan, Mahsuri berhasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk komuniti setempat dan meningkatkan kemahiran bakat,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran Mahsuri ke Negeri Sembilan sebagai pusat pengilangan sos makanan dan seterusnya mewujudkan satu ekosistem baharu dalam industri yang berkaitan dengannya.

“Dengan pertumbuhan industri halal dan permintaan tinggi terhadap produk halal oleh masyarakat Malaysia dan dunia, saya berharap agar Mahsuri akan terus berkembang maju dan menjadi antara 10 jenama halal terbaik dunia pada masa hadapan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon