Majlis TVET negara peraku penubuhan badan koordinasi TVET kerajaan-industri – PM
03 Feb 2022
Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) hari ini memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) dalam usaha kerajaan memperkasa ekosistem aliran berkenaan, seterusnya menjadikannya pilihan utama belia.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata buat julung kalinya, badan diterajui industri itu akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.
“Keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat MTVET secara telesidang yang dipengerusikannya hari ini disertai 13 menteri, tokoh industri termasuk daripada Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), ahli akademik dan wakil pelajar.
Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan “TVET Collaboration Hub” melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri,” katanya.
Menurutnya, sejumlah 12 hab telah dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri berkata mesyuarat turut bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun katanya proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.
“Inisiatif ini dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja,” katanya.
Ismail Sabri berkata usaha-usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Di bawah Bajet 2022, menurutnya kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan.
“Inisiatif-inisiatif ini bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri.
“Sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan,” katanya.
Menyedari kepentingan TVET, perdana menteri berkata mesyuarat itu juga bersetuju agar kempen, promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.
“Melalui kempen dan promosi ini, kita mengharapkan supaya TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan sepertimana negara maju yang lain,” katanya.
Ke arah itu, katanya Kementerian Pendidikan telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1 agar mereka boleh membuat pilihan bersesuaian dengan kecenderungan mereka.
Menurutnya sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.
Malah katanya, kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Sumber: Bernama