Malaysia bakal raih manfaat gelombang kemajuan teknologi ASEAN - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia bakal raih manfaat gelombang kemajuan teknologi ASEAN

Malaysia bakal raih manfaat gelombang kemajuan teknologi ASEAN

27 Jul 2023

MALAYSIA dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan gelombang kemajuan teknologi dan peluang perdagangan seterusnya untuk bersaing dengan rakan setaranya di ASEAN, menurut Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC).

Ketua Pegawai Eksekutif PBEC, Michael Walsh berkata, ASEAN mampu bersaing dengan rantau yang lain bagi meraih peluang baharu dalam perdagangan, perkhidmatan dan pembuatan menerusi jalinan kerjasama sebagai satu blok.

“Lembangan Pasifik kekal sebagai demografi terbaik dari segi penciptaan ekonomi dan kekayaan jangka panjang di seluruh dunia. Ini bermakna ekonomi seperti Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

“Singapura mempunyai tawaran nilai sangat kukuh. Malaysia boleh memanfaatkan dari segi aliran pelaburan. Selain itu, ibu pejabat serantau yang ditubuhkan di Singapura sejak tiga tahun lepas menghadapi peningkatan kos sara hidup dan kekurangan ruang.

“Malaysia, khususnya Johor Bahru, kini menarik lebih ramai pekerja hibrid dan mahir warga Singapura. Mereka berulang-alik apabila diperlukan,” katanya semasa Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia ke-6 anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik pada Khamis.

Walsh menyatakan bahawa aliran ekonomi China ke ASEAN dan Timur Tengah serta peningkatan ekonomi India dan mereka yang berada di kawasan sekitarnya mendapat manfaat daripada aliran perdagangan dengan ASEAN.

“Globalisasi telah bertukar menjadi serantau. Trend globalisasi yang tidak terkawal sejak 15 tahun lepas bagi kita semua yang meminati perdagangan dan perniagaan antarabangsa, telah menimbulkan jenis globalisasi yang berbeza akibat kegagalan beberapa dasar negara,” katanya.

Profesor Ekonomi Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Rajah Rasiah berkata, Malaysia dan ASEAN kini mendapat manfaat daripada isu geopolitik di seluruh dunia.

“Banyak syarikat kini berpindah dari China bukan sahaja ke Malaysia, tetapi ke Vietnam dan Thailand sebahagian besarnya, untuk mengatasi isu larangan serta kenaikan tarif untuk sampai ke Amerika Syarikat,” katanya.

Presiden KSI dan Pengerusi Kelab Ekonomi ASEAN, Tan Sri Michael Yeoh berkata, dalam ucapan aluannya bahawa Malaysia berharap untuk menjadi tunjang aktiviti perdagangan China-India-ASEAN untuk memanfaatkan peluang daripada kerjasama tersebut.

Perdagangan menyaksikan peralihan yang lebih besar ke arah China, India dan ASEAN dan adalah strategik untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat antara rantau ini.

“Kita perlu mengambil kira transformasi teknologi hijau dan digital kerana pertumbuhan teknologi hijau adalah masa depan perdagangan.

“Kita perlu mempercepatkan lagi pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik kerana ini akan membuka lebih banyak peluang untuk negara kita,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon