Malaysia berpotensi jadi pemimpin global teknologi kewangan Islam - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia berpotensi jadi pemimpin global teknologi kewangan Islam

Malaysia berpotensi jadi pemimpin global teknologi kewangan Islam

15 Dis 2020

Malaysia berpotensi menjadi pemimpin dunia dalam teknologi kewangan Islam (fintech) kerana negara ini telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil dalam pelaburan dan aktiviti fintech, demikian menurut laporan yang disediakan bersama oleh Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan dua organisasi lain.

Laporan yang baharu dilancarkan berjudul “Islamic Fintech in Malaysia: Reality & Outlook” itu menyatakan Malaysia telah menjadi antara pasaran fintech yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan hampir 200 syarikat fintech tempatan dan asing beroperasi di negara ini setakat September 2020.

“Sebahagian besar aktiviti fintech Malaysia tertumpu dalam ruang dompet dan pembayaran dengan telefon mudah alih dan e-dagang telah menyaksikan permintaan sebenar daripada pengguna dan peniaga yang terabai.

“Trend ini turut disokong oleh agenda Bank Negara Malaysia untuk mempercepatkan peralihan negara ke pembayaran elektronik dan ini telah memantaskan langkah negara untuk merealisasikan penjimatan kos dan pelbagai faedah lain,” kata INCEIF dalam satu kenyataan hari ini.

INCEIF dengan kerjasama Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), menyediakan laporan yang meneroka landskap ekosistem fintech di Malaysia dan potensi negara untuk menjadi hab fintech Islam global.

“Persekitaran peraturan Malaysia yang mantap, landskap fintech yang komprehensif, komuniti kewangan Islam yang menyokong serta komitmen kerajaan untuk memperjuangkan ekonomi Islam telah membuka jalan bagi Malaysia untuk menjadi hab fintech Islam global.

“Dengan visi dan kelebihan sedemikian, syarikat permulaan fintech Islam di Malaysia dapat menjamin prospek pertumbuhan jangka panjang dengan meningkatkan perkhidmatan ekonomi Islam global merangkumi hampir 1.8 bilion orang seluruh dunia,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) INCEIF Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar berkata, fintech Islam berpotensi untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang inklusif dan lestari yang dapat memenuhi secara unik keperluan kewangan semua segmen masyarakat.

“Susulan kesukaran yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19, mengembangkan fintech Islam kini menjadi lebih penting daripada sebelumnya, khususnya dalam memenuhi keperluan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan komuniti  B40,” ujar beliau.

Pengarah Eksekutif ISRA Prof Dr Mohamad Akram Laldin pula berkata walaupun fintech Islam masih dalam tahap awal kemajuannya, ia memiliki potensi pertumbuhan yang besar sekiranya ekosistem yang kondusif dicapai.

“Untuk itu, Malaysia mempunyai kelebihan besar dalam menerajui industri global fintech Islam dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai hab kewangan Islam dan memperhebatkan usahanya dalam penyelesaian kewangan berasaskan nilai dan lestari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata: “Hari ini, kita adalah antara pasaran fintech yang berkembang paling pesat di Asia Tenggara. Ini telah menyumbang kepada Malaysia untuk ditempatkan di kedudukan teratas ekonomi Islam oleh State of the Global Islamic Economy Report 2020/2021.

“Dengan semua pencapaian ini, berserta usaha agensi seperti kami (MDEC) dalam mengembangkan ekosistem, kami yakin Malaysia bersedia menjadi hab fintech Islam ASEAN, sekali gus memperkukuhkan lagi matlamat kami untuk meletakkan negara ini sebagai Pusat ASEAN Digital. ”

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon