Malaysia destinasi kedua pilihan pelabur di Asia Tenggara - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia destinasi kedua pilihan pelabur di Asia Tenggara

Malaysia destinasi kedua pilihan pelabur di Asia Tenggara

24 Mac 2021

Firma Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memilih Malaysia sebagai negara kedua terbaik selepas Singapura di Asia Tenggara untuk menubuh atau mengembangkan sumber, operasi atau jualan bagi tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Menurut kajian Standard Chartered, ‘Perniagaan Tanpa Sempadan’, ketua pegawai kewangan dan perbendaharaan di AS, United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis menyatakan walaupun wujud ketidaktentuan disebabkan COVID-19 dan kesan ekonomi, pasaran luar negara kekal menjadi kunci pertumbuhan.

Kajian itu juga menyatakan penekanan tambahan diperlukan pelabur untuk melabur dalam teknologi digital, aliran kewangan dan meningkatkan tumpuan terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang berkaitan dengan perdagangan serta rantaian bekalan.

“Penekanan yang menjadi perhatian utama dalam kalangan responden yang ingin berkembang ke pasaran luar negara membuka peluang kepada Malaysia meningkatkan pelaburan asing berpotensi menerusi kesedaran lebih tinggi mengenai kelonggaran untuk menjalankan perniagaan di sini,” katanya.

Tahun lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia mencecah RM64.2 bilion.

Menurut kajian Standard Chartered, pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) baru-baru ini, dijangka dapat mempercepatkan hasrat Malaysia menjadi ekonomi berteknologi maju dan memberi sokongan kepada pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat yang terbabit dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan yang tersenarai dalam Fortune 500.

Kajian itu menjelaskan, MyDIGITAL dijangka menarik nilai pelaburan berpotensi mencecah RM81.9 bilion.

“Asia kekal sebagai rantau pertumbuhan utama dengan lebih 85 peratus responden beroperasi atau mempertimbang untuk aktiviti perniagaan.

“Afrika dan Asia Barat juga memperlihatkan peningkatan marginal empat peratus menjadi pasaran yang memiliki pertumbuhan berpotensi untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang,” katanya.

Kajian Standard Chartered turut mendapati, walaupun terdapat hasrat untuk berkembang di peringkat antarabangsa, pemahaman mengenai keperluan pengawalseliaan di pasaran luar negara tetap menjadi halangan terbesar (35 peratus) bagi syarikat yang ingin berkembang atau memperkukuhkan operasi antarabangsanya.

“Ini diikuti oleh keperluan untuk membina hubungan dengan pembekal dan penyesuaian aspek logistik rantaian bekalan (21 peratus).

“Ketika syarikat memandang ke hadapan dalam persekitaran pasca pandemik, tiga keutamaan responden menunjukkan sedikit perubahan pelbagai isu termasuk kegagalan rantaian bekalan (50 peratus) dan keperluan kecairan (47 peratus) hinggalah peningkatan pelaburan dalam pendigitalan bagi menggerakkan kecairan (66 peratus dan ESG (23 peratus),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A Anwar, berkata Malaysia menjadi pasaran pertumbuhan penting kepada syarikat itu dan ia akan terus melabur dalam aspek teknologi bagi membantu pelanggan perbankan runcit, institusi dan komersial untuk berkembang.

“Berdasarkan legasi kukuh selama 146 tahun di Malaysia, kami sangat komited untuk mempermudahkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Peningkatan keyakinan di negara ini ditambah dengan kehadiran Standard Chartered di Asia, Afrika dan Asia Barat adalah tepat di tengah-tengah laluan perdagangan global yang dengan mudah menghubungkan dunia dengan Malaysia serta Malaysia ke dunia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon