Malaysia di tempat teratas dalam nisbah kelajuan muat turun 5G
22 Jun 2022
Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam kalangan 15 pasaran global yang meningkatkan nisbah purata kelajuan muat turun pengguna menggunakan 5G berbanding 4G dengan kenaikan 25.7 kali ganda, demikian mengikut Opensignal.
Syarikat analisis mudah alih berpangkalan di United Kingdom itu dalam analisis definitif terkini mengenai peneraju 5G di seluruh dunia berkata, bagaimanapun, jumlah pengguna 5G di Malaysia adalah kecil dan nisbah itu dijangka berkurangan apabila penggunaan 5G meningkat.
“Adalah penting untuk memahami keadaan yang berbeza bagi pelaksanaan 5G di seluruh pasaran, 5G masih baharu di Malaysia dan pengguna 5G adalah kecil,” katanya.
Setakat ini, hanya dua operator telah mendaftar untuk menggunakan 5G bagi rangkaian borong tunggal.
“Ujian sebenar bagi Malaysia akan berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila pelbagai operator di Malaysia memasarkan 5G,” katanya.
Opensignal berkata rangkaian borong 5G di Malaysia hanya meliputi rangkaian akses, terutamanya menara sel, dan operator di Malaysia meneruskan penggunaan rangkaian teras yang sedia ada dan merangkai padan bagi membolehkan pengalaman yang sempurna kepada pengguna.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia melonjak pada kedudukan yang tinggi bagi kesemua tiga kategori kelajuan 5G – kelajuan muat turun, kelajuan muat turun puncak dan kelajuan muat naik, di samping pengalaman permainan 5G bagi kategori pengalaman.
Menurutnya, bagi kategori pengalaman, Malaysia meraih kedudukan dalam ruang yang menekankan kepentingan pengalaman menyeluruh bagi penstriman video, permainan mudah alih berbilang pemain dan komunikasi suara.
Sementara itu, Opensignal berkata Korea Selatan berada pada kedudukan teratas bagi kelajuan muat turun 5G global dengan enam pasaran telah melebihi paras 300 Megabit sesaat (Mbps) berbanding tiga pada Mac 2022.
“Korea Selatan, Sweden dan Emiriah Arab Bersatu telah disertai oleh Bulgaria, Norway dan Malaysia walaupun Malaysia adalah anomali berikutan kadar pengambilan 5G yang terhad setakat ini dan pengalaman 5G di sana dijangka merosot mendadak memandangkan lebih ramai pengguna dan operator yang memanfaatkan 5G,” tambahnya.
Sumber: Bernama