Malaysia, Indonesia meterai enam instrumen dua hala
08 Jun 2023
Malaysia dan Indonesia memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) di dalam rangka kerja lawatan dua hari Presiden, Joko Widodo ke negara ini.
Majlis MoU yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana pada Khamis itu dimulakan dengan Perjanjian Rentas Sempadan yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Indonesia, Muhammad Tito Karnavian dan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Perjanjian Perdagangan Sempadan pula dimeterai oleh Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Tengku Zafrul turut menandatangani Kerjasama Promosi Pelaburan dengan Menteri Pelaburan Indonesia, Bahlil Lahadalia.
Selain itu, Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal bagi Produk Domestik ditandatangani oleh Pengerusi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal bagi Indonesia, Muhammad Aqil Irham dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Pada majlis yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo turut melakukan pertukaran dua lagi instrumen iaitu Perjanjian Persempadanan Laut Selat Melaka serta Sulawesi.
Terdahulu, Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi tiba di Kompleks Seri Perdana sekitar jam 10 pagi disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri kabinet sebelum mengadakan pertemuan empat mata.
Jokowi bersama isterinya, Iriana Joko Widodo serta delegasi, memulakan lawatan kerja ke negara ini atas jemputan Anwar, susulan lawatan rasmi pemimpin Malaysia itu ke republik berkenaan pada Januari lepas.
Pada 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (AS$29.55 bilion), peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (AS$22.98 bilion) pada 2021.
sumber: Sinar Harian