Malaysia-Indonesia tingkat kerjasama perdagangan
08 Jun 2023
Malaysia dan Indonesia hari ini meningkatkan lagi kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan dan halal berikutan pemeteraian perjanjian sempena lawatan Presiden Indonesia Joko Widodo dan delegasinya ke Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan rakan sejawatannya, Menteri Perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan, mewakili Malaysia dan Indonesia, memeterai perjanjian perdagangan sempadan dan memorandum persefahaman mengenai kerjasama menggalakkan pelaburan semasa majlis menandatangani instrumen dua hala di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Hakimah Mohd Yusoff dan Pengerusi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Indonesia Muhammad Aqil Irham menandatangani kerjasama secara bersama dalam pengiktirafan pensijilan halal untuk produk halal.
Malaysia turut memeterai perjanjian rentas sempadan yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian.
Joko Widodo dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mulai Rabu, untuk mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama terjalin dan rapat antara kedua-dua negara itu.
Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN pada 2022 dengan jumlah perdagangan sebanyak RM130.14 bilion (US$29.55 billion).
Ini merupakan peningkatan sebanyak 36.5 peratus daripada RM95.31 bilion (US$22.98 bilion) pada 2021.
Sumber: Bernama