Malaysia ke arah Industry4WRD - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia ke arah Industry4WRD

Malaysia ke arah Industry4WRD

30 Dis 2020

Sejak tercetus Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) pada pertengahan tahun 2016 dengan membabitkan teknologi automasi, cabaran baharu meresap ke dalam semua sektor perkhidmatan dan perindustrian negara.

Malah, ia menuntut perubahan semua pihak seiring transformasi digital itu, supaya dapat terus kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Malaysia dengan aspirasi bergelar negara berteknologi tinggi menjelang 2025 turut tidak ketinggalan mempersiapkan diri dalam melalui revolusi berkenaan.

Dasar Kebangsaan mengenai IR 4.0 dikenali sebagai Industry4WRD adalah satu dasar negara untuk transformasi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan perkilangan bagi tempoh 2018 hingga 2025.

Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Saliza Saari, berkata perkembangan teknologi internet telah membawa revolusi digital dan membawa peralihan kepada Industry4WRD yang didasari oleh polisi Indusri dilancarkan.

“Pelaksanaan Industry4WRD lebih komprehensif dan ia membabitkan pembangunan industri bagi mengadaptasi penggunaan teknologi dalam organisasi,” katanya kepada BH menerusi wawancara secara maya, baru-baru ini.

Mengenai peranan MPC dalam menjayakan Pelan Nasional Industry4WRD Saliza, berkata perbadanan itu diberi tanggungjawab khusus bagi mengendalikan Penilaian Kesediaan Industry4WRD (RA), iaitu program yang menyediakan platform bagi menilai tahap kesediaan syarikat.

Katanya, program ini membabitkan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sektor perkilangan dan perkhidmatan berkaitan perkilangan ke arah transformasi Industry4WRD.

“Pendaftaran dalam Talian Penilaian Kesediaan Industri4WRD sudah bermula tahun lalu.  PKS dan syarikat lain yang berminat menyertai Program RA boleh membuat permohonan melalui laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ataupun MPC.

“Bagi 2019, sebanyak 508 syarikat menerima kelulusan bagi melalui proses RA dan kos melaksanakan RA bagi PKS ditanggung kerajaan sepenuhnya,” katanya.

Saliza berkata, PKS yang berjaya melalui proses RA akan ditawarkan geran intervensi Industry4WRD dengan had maksimum RM500,000.00, dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Bagi tahun ini, sasaran ditetapkan adalah 373 [ZB1] PKS, justeru saya menyeru PKS untuk merebut peluang yang masih ada bagi transformasi ke arah Industry4WRD.

“Syarikat selain PKS juga berpeluang menjalani RA, tetapi atas pembiayaan sendiri. Perbelanjaan yang dikeluarkan bagi proses RA ini boleh dituntut kembali daripada pihak Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) manakala maklumat lanjut berkaitan proses tuntutan boleh diperolehi daripada Sekretariat RA MPC,” katanya.

Saliza berkata pihak MPC turut mengambil beberapa inisiatif bagi membantu kelancaran proses dan menggalakkan industri untuk turut serta dalam program RA.

“Beberapa penambahbaikan dilaksanakan seperti meningkatkan kerjasama bersama pelbagai persatuan seperti SME Association, Persekutuan Pengeluar Malaysia (FMM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MITB) dan beberapa persatuan lain,” katanya.

Beliau berkata, MPC turut bercadang menambah badan penilai, bagi membolehkan lebih banyak penilaian RA dapat dibuat pada satu-satu masa.

“Ini dapat membantu pelaksanaan automasi dalam proses RA dan saya percaya, melalui penambahbaikan ia membantu mempercepatkan tempoh RA dengan lebih efisien,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan TXMR Sdn Bhd, Tengku Mohd Farid Tengku Hassim, berkata penyertaan di dalam RA memberi manfaat besar kepada syarikat diterajuinya, dan ia dapat dilihat secara jelas menerusi beberapa perincian utama.

Beliau berkata, aspek eksport syarikat menjadi lebih berdaya saing dan ia membantu meningkatkan kesediaan mereka dalam menerima pakai teknologi serta proses IR 4.0.

“Penyertaan dalam RA juga membantu kami menerapkan teknologi baharu, termasuk teknologi IR 4.0 dalam sesebuah syarikat.

“Selain itu, RA meningkatkan produktiviti lebih tinggi dalam sektor industri, mengoptimumkan pertumbuhan ekonomi negara dan dapat mengurangkan beban kepada PKS yang bersaiz kecil, untuk menghasilkan produk dalam kuantiti lebih banyak,” katanya.

Mohd Farid berkata, RA juga berperanan menyuntik kesedaran, berhubung kepentingan teknologi dan proses IR 4.0, khususnya ke arah penghasilan produk berkualiti tinggi yang akan membantu memajukan ekonomi syarikat.

“Penyertaan dalam RA juga membolehkan kita dapat mengenal pasti jurang dan penambahbaikan yang perlu dilakukan,” katanya.

Mengenai perancangan syarikatnya ke arah IR 4.0 beliau berkata, ia membabitkan kerjasama dengan institusi pendidikan dan teknikal serta industri bagi pembangunan bakat dan bidang teknologi, digital dan kejuruteraan.

“Ia sebagai persiapan menyediakan graduan tersedia untuk pasaran kerja dalam pengeluaran pintar.

Kami juga melaksanakan pelbagai program yang menjurus ke arah IR 4.0, contohnya program RA yang dianjurkan oleh MPC.

“Program ini dapat membantu syarikat untuk menilai kemampuan dan kesediaan mereka untuk mengunakan teknologi industri 4.0,” katanya.

Pada masa sama, syarikat juga boleh menimbangkan kewujudan ‘Smart Factory’, iaitu operasi kilang secara pintar, menerusi aplikasi pelbagai alat.

“Kilang pintar ini akan meningkatkan produktiviti kakitangan, selain menambah baik pengurusan tenaga, menganalisa prediktif penyelenggaraan, melaksanakan semakan inventori, mengkaji untuk meminimakan masa ketergendalaan dan melaksanakan ‘integrated remote operation’,” katanya.

Peserta lain yang turut menikmati faedah hasil pembabitan langsung dalam RA, Pengarah Urusan Micro Precision Machining Sdn. Bhd, Ja’afar Othman berkata selain penerapan nilai kesedaran mengenai keperluan ke arah Industri 4.0, dengan penilaian RA ini juga dapat sememangnya membantu dalam meningkatkan kualiti produktiviti mutu kerja.

“Kami menyedari ia menggiatkan lagi persediaan dan pengunaan Industri 4.0 antaranya Pengunaan CCTV dan Data Softcopy collection. Sememangnya ia membantu pada masa akan datang secara AI atau secara automatik.

“Kami akan terus memberikan pendedahan terhadap keperluan I4.0 penggunaan softcopy dan komputer dalam setiap aktiviti  seharian memantapkan pengunaan I3.0 kepada I4.0 kepada pekerja dan syarikat telah menambah pekerja dalam Bidang Internet of Things (IoT) serta software untuk menambah sensor pengumpulan data production dan kualiti produk serta kecekapan pemmesinan,” katanya.

Menurut beliau, syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana lain perlu merebut peluang yang disediakan oleh MPC.

“Penyertaan dalam program ini akan membuatkan PKS terbabit lebih bersedia untuk menerima dan menyerap teknologi baharu, termasuk yang berkaitan IR 4.0. Selain tidak akan ketinggalan dari segi teknik, proses dan teknologi terkini.

“PKS terbabit juga akan lebih bersedia untuk menerima pakai teknologi IR 4.0 bagi jangka masa panjang dan semestinya boleh membantu meningkatkan produktiviti selain dapat membangunkan dan meningkatkan taraf PKS di Malaysia supaya tidak ketinggalan,” katanya.

Source: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon