Malaysia kekal dasar mesra perniagaan, pelaburan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia kekal dasar mesra perniagaan, pelaburan

Malaysia kekal dasar mesra perniagaan, pelaburan

14 Sep 2021

Malaysia akan terus menjadi ekonomi terbuka dengan dasar mesra perniagaan dan pragmatik yang menyokong iklim pelaburan di negara ini, sekali gus mengekalkan negara ini dalam radar pelabur.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Malaysia mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dan mengagumkan pada separuh pertama 2021 dengan pelaburan langsung asing (FDI) melonjak 223.1 peratus berbanding separuh pertama 2020, menandakan keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan yang stabil dan kondusif di negara ini.

Beliau berkata, prestasi yang luar biasa itu juga menunjukkan strategi Malaysia meletakkannya sebagai destinasi pilihan pelaburan yang menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, terutama untuk operasi pembuatan, menunjukkan hasil yang positif.

Katanya, Malaysia juga memperkenalkan Aspirasi Pelaburan Nasional, yang akan mengemudi negara ini ke arah pusat pelaburan serantau yang bertujuan meningkatkan kompleksiti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan berteknologi tinggi bernilai tinggi sambil memperluas hubungan domestik.

Selain itu, tambahnya, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akan menjadi panduan utama penggubalan dasar ekonomi sehingga 2025, yang mana rancangan itu juga merangkumi usaha merapatkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar dengan mengukuhkan rangkaian keselamatan sosial dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Saya ingin menekankan bahawa kami memberi keutamaan dalam memanfaatkan sinergi antara kerajaan dan sektor swasta untuk mempercepat pemulihan ekonomi, memupuk kerjasama yang lebih utuh dalam pertumbuhan, penciptaan kekayaan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat secara maya dengan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (AS-ABC) pada petang Isnin.

Dalam pertemuan secara maya itu, Mohamed Azmin gembira dengan minat dan penyertaan berterusan AS-ABC dalam menyokong ASEAN dan Malaysia untuk menjayakan agenda transformasi digital negara.

Beliau berkata, Malaysia tetap teguh dalam melakukan transformasi digital secara berterusan, terutamanya menerusi agenda MyDIGITAL, dimensi baharu dasar digitalisasi negara, yang akan mengubah Malaysia menjadi negara dipacu digital, sebagai batu loncatan bagi komuniti perniagaan untuk mengakses pasaran serantau lebih 650 juta orang, dan potensi pengguna dalam talian dengan kekuatan 400 juta.

“Saya menyeru pelabur Amerika untuk memanfaatkan ‘Digital Investment Office (DIO) – Your One Stop for All Digital Investment Needs’, termasuk dalam ekosistem bakat dan syarikat permulaan.

“Malah, bersama saya hari ini Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), untuk membantu AS-ABC meneroka DIO sebagai cadangan nilai yang unik dalam menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” katanya.

AS telah menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015 dan AS juga adalah pelabur asing kedua terbesar di Malaysia dari segi pelaksanaan projek pembuatan.

Walaupun perdagangan global mencatatkan defisit tahun lalu, Malaysia mencatat pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak 8.2 peratus dalam jumlah perdagangan dengan AS mencecah AS$42.6 bilion.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon