Malaysia kekal destinasi pilihan pelabur dunia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia kekal destinasi pilihan pelabur dunia

Malaysia kekal destinasi pilihan pelabur dunia

21 Jul 2021

Malaysia masih kekal sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pelabur serta warga asing dengan perspektif global menumpukan aspek pelaksanaan program vaksinasi serta usaha meningkatkan tahap imunisasi rakyat negara ini.

Menurut Penganalisis Crisis Comm, Peter Nicoll, pergerakan di pasaran Malaysia juga ternyata bertambah baik pada awal minggu ini walaupun sebahagian besar fokus lebih tertumpu ke atas pasaran Amerika Syarikat (AS) serta soal pelarasan dalam pelbagai portfolio menteri terbabit.

“Namun, semua perkembangan ini berlaku sebelum pengumuman oleh (agensi penarafan antarabangsa) Fitch Ratings yang bertindak mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada BBB+ dengan prospek stabil.

“Ini adalah satu perkara yang positif dan menjadi tumpuan pelabur dan warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Mid-Day Update’ terbitan Bernama TV pada Rabu.

Bagaimanapun, pada masa sama, Nicoll berkata aspek kestabilan politik terus menjadi kebimbangan utama pelabur.

“Kita menjangkakan dapat melihat beberapa impak positif susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam beberapa minggu akan datang termasuk pengumuman mengenai kelonggaran untuk mereka yang lengkap dua dos suntikan vaksin yang dapat menggalakkan lebih ramai tampil mendapatkan suntikan itu.

“Apa yang boleh kita katakan, perkembangan ini menunjukkan bahawa Malaysia kini di landasan tepat untuk mencapai sasaran (imuniti kelompok),” katanya.

Selain itu, Nicoll menyifatkan sentimen pesimis dalam kalangan rakyat sebagai sesuatu yang telah dijangkakan kerana pandemik yang membabitkan jangka masa panjang dan rakyat perlu berurusan dengan pelbagai peraturan serta menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam norma baharu.

“Malaysia masih lagi dalam fasa pengurusan pandemik dan belum beralih ke fasa pemulihan walaupun kita dapat melihat garis panduan yang lebih jelas mengenai peralihan berkenaan menerusi PPN,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon