Malaysia kekal tekad, komited dalam menyokong perdagangan serantau - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia kekal tekad, komited dalam menyokong perdagangan serantau

Malaysia kekal tekad, komited dalam menyokong perdagangan serantau

24 Dis 2020

2020 sepatutnya menjadi tahun yang penuh dengan gagasan hebat bagi perjanjian perdagangan serantau.

Namun, kemajuan itu sebaliknya terhalang apabila negara-negara dalam lingkungan rantau ini dan dunia bergelut untuk meredakan gelombang cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

Virus yang boleh membawa maut itu – mula dikesan di Wuhan, China – telah mencetuskan akibat buruk ke atas ekonomi global, dan negara ini tidak terkecuali menerima impaknya.

Seperti juga negara-negara lain di seluruh dunia, Malaysia melaksanakan tindakan drastik termasuk penutupan sempadan dan mengenakan sekatan perjalanan dalam negara untuk mengekang penularan COVID-19, yang diisytiharkan sebagai pandemik global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac, 2020.

Meskipun menghadapi pandemik, Malaysia telah membuktikan kemampuan sebagai tuan rumah mesyuarat-mesyuarat berkaitan dan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dengan jayanya sepanjang tahun ini, dengan penuh ikrar terhadap perdagangan dan pelaburan bebas, terbuka dan tanpa diskriminasi.

Pemimpin daripada 21 ekonomi anggota APEC menyuarakan ikrar untuk memperkukuh kerjasama semasa dan selepas pandemik COVID-19 menerusi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-27 pada 21 Nov lepas, yang buat kali pertama dalam sejarah APEC, ia diadakan sepenuhnya secara maya.

“Sebagai satu perkumpulan ekonomi yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada ekonomi global, APEC memainkan peranan penting dalam menerajui pemulihan ekonomi pasca-pandemik,” kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan ucapan perasmian AELM.

Antara pemimpin yang hadir dalam AELM itu ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping.

Kedua-dua pemimpin tersebut bukan sahaja bersetuju untuk mengetepikan ketegangan yang berlaku antara mereka malah menyedari pentingnya persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, saksama, tiada diskriminasi, telus dan boleh jangka untuk mendorong pemulihan ekonomi dalam masa yang begitu mencabar ini.

Dua tahun lepas, para pemimpin APEC gagal mengeluarkan kenyataan bersama susulan tiada kata sepakat mengenainya buat kali pertama dalam sejarah pertubuhan itu susulan situasi pertikaian perdagangan di antara Washington dengan Beijing.

Pada 2019 pula, mesyuarat AELM yang dijadualkan di Chile terpaksa dibatalkan ekoran tunjuk perasaan antikerajaan di semua bandar-bandar Amerika Selatan.

Dalam deklarasi yang dikeluarkan selepas mesyuarat AELM 2020 secara maya, para pemimpin APEC menyatakan komitmen mereka untuk menangani dan mengurangkan kesan COVID-19 di samping meningkatkan naratif perdagangan dan pelaburan.

Mereka komited untuk melaksanakan penyertaan ekonomi inklusif menerusi ekonomi digital dan teknologi, memacu kemampanan inklusif dan inovatif serta memperkukuh kerjasama pihak pemegang kepentingan dalam mengharungi antara tempoh krisis kesihatan dan ekonomi yang paling mencabar pada era ini.

Deklarasi Kuala Lumpur merupakan antara dua dokumen penting yang direalisasikan dalam mesyuarat APEC tahun ini, selain Visi Putrajaya 2040 APEC yang memetakan masa depan rantau ini dan menggantikan Matlamat Bogor yang akan berakhir tidak lama lagi.

Satu lagi pencapaian penting yang dilakarkan Malaysia tahun ini adalah bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar dunia iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang akhirnya dimeterai setelah melalui 31 pusingan rundingan yang amat sukar selama lapan tahun.

Pemeteraian RCEP pada 15 November merupakan tonggak yang amat penting dalam penyepaduan dan dan penggiatan kembali ekonomi 15 penandatangan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pemeteraian perjanjian itu menjadi bukti pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala di samping mendukung agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

RCEP merangkumi 15 negara dengan gabungan jumlah penduduk 2.2 bilion, atau hampir 29.7 peratus daripada jumlah penduduk dunia dan mewakili US$24.8 trilion atau 28.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia menurut data Bank Dunia 2018.

Ini menggabungkan dan memperkemaskan FTA ASEAN+1 sedia ada — yang meliputi Jepun, Korea Selatan, China, Australia dan New Zealand — menjadi satu perjanjian yang inklusif dan komprehensif.

Antara lain, menerusi perjanjian itu, perdagangan dan pelaburan dalaman dan luaran dari rantau ini akan ditingkatkan, memperkukuh rantaian nilai serantau, serta memudahkan ketelusan, perkongsian maklumat dan penyelarasan peraturan dan piawaian teknikal.

Sementara itu, menggalakkan pemulihan ekonomi pasca-pandemik di rantau ini melalui digitalisasi telah menjadi antara agenda utama yang dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-19 pada 15 Nov, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 secara maya.

Bagi FTA, MITI menjelaskan Malaysia telah menandatangani 16 FTA dan melaksanakan 14 FTA, yang terdiri daripada tujuh FTA dua hala dan tujuh FTA serantau.

Secara kolektif, pada 2019, perdagangan dengan negara-negara yang menandatangani FTA serantau dan dua hala menyumbang 66.7 peratus kepada perdagangan keseluruhan Malaysia atau RM1.22 trilion.

Eksport ke negara-negara FTA bernilai RM672.1 bilion, sementara import sebanyak RM551.5 bilion.

Bagi sembilan bulan pertama 2020, perdagangan dengan rakan-rakan FTA menyumbang 66.5 peratus atau RM860.6 bilion.

Eksport pula bernilai RM483.29 bilion manakala import pada RM377.31 bilion.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon