Malaysia, Kemboja tingkat kerjasama pelbagai sektor - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Kemboja tingkat kerjasama pelbagai sektor

Malaysia, Kemboja tingkat kerjasama pelbagai sektor

27 Mac 2023

Malaysia dan Kemboja berharap dapat meningkatkan kerjasama dalam sektor pelaburan, industri halal, teknologi digital, pendidikan dan pertahanan bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata isu berkenaan dibincangkan dan menjadi antara keutamaan dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala di Istana Keamanan di sini, hari ini.

“Perbincangan adalah sangat terperinci dan menyeluruh…menyentuh isu-isu perdagangan dan pelaburan yang menjadi keutamaan kami dalam hubungan dua hala, selain beberapa isu lain yang menjadi perhatian,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen sempena lawatan rasmi sehari ke Kemboja.

Terdahulu, Anwar dan Hun Sen menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerajaan Malaysia dan Kemboja.

MoU berkenaan berkaitan pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja dalam sektor domestik serta pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja di sektor formal bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor buruh.

Mengenai industri halal, Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah menerajui sektor berkenaan dan ia akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk menggunakan kemudahan itu bagi menggalakkan dan memudahkan eksport ke negara Islam, khususnya di Asia Barat.

Anwar juga menyentuh mengenai kejayaan pengeluaran beras di Kemboja dan beliau akan menggalakkan syarikat beras Malaysia dalam memenuhi keperluan import beras supaya dapat mempertimbangkan pilihan mengimport beras dan kacang gajus dari Indochina.

“Perdana Menteri (Hun Sen) menyebut tentang kejayaan pengeluaran beras, yang patut dipuji walaupun anda kata ada lebihan… saya tahu sebenarnya pengeluaran beras bukan sesuatu yang mudah, tetapi anda berjaya meningkatkan produktiviti,” katanya.

Kedua-dua negara menurut Anwar, turut bersetuju menggunakan buluh yang terdapat di Kemboja bagi menarik pelabur dalam memproses dan mengeksportnya.

“Anda (Hun Sen) telah menyebut isu keperluan untuk meneruskan latihan selain daripada urusan kerajaan-ke-kerajaan seperti pertahanan dan kepakaran teknikal dan pentadbiran.

“Mengenai teknologi digital dan pendidikan, sudah tentu kita akan dapat bekerjasama, sebaik sahaja jawatankuasa bersama bersidang, mudah-mudahan menjelang akhir tahun. Saya rasa giliran Malaysia menjadi tuan rumah selepas beberapa tahun berlalu,” katanya.

Malaysia harap komitmen Kemboja dalam isu Myanmar

Dalam perkembangan berasingan, Anwar berharap Hun Sen dapat memberi beberapa idea pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang berhubung rangka kerja komprehensif bagi menangani krisis semasa Myanmar.

Menurut Anwar, ia bukan lagi isu dalaman kerana lebih 200,000 pelarian Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia.

Anwar berkata, komuniti ASEAN memahami situasi semasa di Myanmar tetapi junta (kumpulan pemimpin tentera) negara itu juga perlu memahami bahawa perkara itu tidak boleh diteruskan tanpa penyelesaian.

Beliau turut menyatakan kepercayaannya terhadap kebijaksanaan rakan sejawatannya dari Kemboja itu kerana Hun Sen telah berjaya mengembalikan keamanan apabila berdepan dengan situasi yang lebih kompleks di Kemboja berbanding situasi semasa di Myanmar.

“Ini adalah contoh yang hebat bagaimana sebuah negara yang berdepan perang saudara dan keganasan boleh mencapai keamanan. Perdana Menteri (Hun Sen) dengan pengalaman luas sudah tentu lebih sesuai untuk membincangkan isu yang lebih kompleks seperti Myanmar,” katanya.

Anwar berkata Malaysia dan Kemboja berkongsi pandangan yang sama mengenai isu Laut China Selatan, Russia-Ukraine, Semenanjung Korea dan Taiwan-China.

Beliau juga berterima kasih kepada Hun Sen kerana menganjurkan majlis iftar bersama ribuan masyarakat Islam di Kemboja malam ini dan ia menggambarkan pemahaman rakan sejawatnya itu terhadap toleransi dan rasa hormat terhadap kumpulan minoriti, yang dianggapnya masih kurang di dunia buat masa ini.

“Terdapat begitu banyak kebencian, salah faham, dan sikap tidak bertoleransi, dan anda (Hun Sen) telah menunjukkan bahawa anda bersedia untuk menerima perasaan dan sensitiviti orang lain dan begitu baik hati menjemput saya menyertai anda dalam majlis besar ini,” kata beliau.

Anwar berkata beliau juga mengalu-alukan lawatan Hun Sen ke Kuala Lumpur nanti.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon