Malaysia mampu kekalkan status 'juara' ekonomi Asia: HSBC - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia mampu kekalkan status ‘juara’ ekonomi Asia: HSBC

Malaysia mampu kekalkan status ‘juara’ ekonomi Asia: HSBC

22 Mei 2023

Ekonomi Malaysia dijangka meneruskan pemulihan kukuhnya tahun ini, selepas dinobatkan sebagai ‘juara’ pertumbuhan di Asia apabila merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.7 peratus tahun lalu, paras tertinggi dalam tempoh 26 tahun.

Ketua Ahli Ekonomi yang juga Ketua Bersama Penyelidikan Global Asia HSBC, Frederic Neumann, berkata dengan pertumbuhan suku pertama KDNK pada 5.6 peratus, Malaysia sekali lagi mengatasi jangkaan pasaran dipacu daya tahan ekonomi yang sebahagian besarnya disokong penggunaan swasta yang kukuh.

Katanya, sebahagian daripada daya tahan ekonomi Malaysia adalah hasil daripada peningkatan berterusan dalam pasaran buruh yang semakin menghampiri paras sebelum pandemik.

“Daripada aspek lain, Malaysia menerajui rantau ini dari aspek pemulihan dalam jualan runcit terutama dalam jualan kereta.

“Ia bukan saja membabitkan penggunaan barangan, malah turut merangkumi penggunaan perkhidmatan termasuk aktiviti rekreasi dan pelancongan sekali gus menunjukkan pembukaan semula yang berterusan,” katanya pada sesi taklimat maya Unjuran Asian Separuh Kedua 2023 HSBC secara maya, hari ini.

Yang turut serta, Ketua Strategi Ekuiti Asia Pasifik HSBC Global Research, Herald J Van Der Linde; Ketua Ahli Ekonomi bagi China HSBC Global Research, Jing Liu; Ketua Penyelidikan FX Asia, Joey Chew; dan Ketua Pusat Perubahan Iklim dan Ketua Penyelidikan ESG HSBC Global Research, Wai-Shin Chan.

Neumann berkata, ekonomi Malaysia juga meraih manfaat daripada inflasi lebih terkawal yang disokong subsidi disalurkan kerajaan bagi menstabilkan harga.

“Dengan inflasi utama sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun pada Mac, Malaysia berada di tempat kedua terendah di ASEAN selepas Thailand. Tidak menghairankan, sentimen penggunaan yang kukuh juga telah menunjukkan peningkatan berterusan dalam sektor perkhidmatan.

“Bukan sahaja perkhidmatan berorientasikan dalam negeri telah menunjukkan daya tahan, pemulihan dalam pelancongan antarabangsa juga meneruskan momentum yang kukuh.

“Pelancongan menerima manfaat langsung susulan rancangan pembukaan semula China. Walaupun Malaysia tidak bergantung kepada sektor pelancongan seperti Thailand, sumbangan pelancongan antarabangsa masih besar mencakupi enam peratus daripada KDNK, melebihi purata Asia iaitu kira-kira empat peratus,” katanya.

Beliau menegaskan, sektor pelancongan berjaya mengimbangi beberapa kelemahan dalam penggunaan barangan, meskipun sektor pembuatan kekal berdaya tahan.

Katanya, pengeluaran perindustrian menongkah arus berbanding kelembapan perdagangan global yang ketara dan mencatat pertumbuhan kekal baik iaitu 3.2 peratus tahun ke tahun.

“Sebagai negara pengeksport yang memiliki asas eksport yang pelbagai seperti komoditi dan pembuatan elektronik, perdagangan Malaysia adalah yang terbaik di Asia.

“Walaupun kami menjangkakan ketidaktentuan pertumbuhan akan berlaku pada dalam dan luar negara, ini tidak bermakna Malaysia akan memasuki kemelesetan. Kami mengekalkan pertumbuhan 2023 kami pada empat peratus, lebih perlahan tetapi stabil,” katanya.

Berhubung Kadar Dasar Semalaman (OPR), Neumann berkata, HSBC menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar yang stabil pada 3.0 peratus.

Sementara itu, beliau menjelaskan, risiko terbesar kepada pertumbuhan Malaysia ialah faktor halangan perdagangan yang meningkat.

“Bagaimanapun, kami percaya Malaysia adalah antara penerima manfaat utama pembukaan semula China, yang boleh mengurangkan sebahagian daripada beberapa risiko perdagangan.

“Walaupun, inflasi yang agak terkawal, sebarang kejutan menaik kepada inflasi teras berikutan pengukuhan permintaan dalam negeri akan menjejaskan fungsi tindakan BNM.

“Selain itu, pelan konsolidasi fiskal Malaysia juga patut diawasi dengan teliti, kerana ia akan mempunyai implikasi utama untuk kedudukan fiskal jangka sederhana Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Van Der Linde berkata, pasaran saham Malaysia adalah lebih baik berbanding pasaran lain di Asia, berikutan kestabilan yang dikecapi, sekali gus berada pada jajaran positif dalam kalangan pasaran Asia.

“Kami menjangkakan Bursa Malaysia berada pada paras 1,490 mata menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon