Malaysia perlu beralih kepada sumber boleh diperbaharui yang lebih besar - Sultan Nazrin - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia perlu beralih kepada sumber boleh diperbaharui yang lebih besar – Sultan Nazrin

Malaysia perlu beralih kepada sumber boleh diperbaharui yang lebih besar – Sultan Nazrin

20 Sep 2022

Malaysia perlu menyesuaikan mekanisme trajektori pertumbuhan ekonominya bagi memastikan ia menghormati batas planetan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, daripada mengurangkan penggunaan tenaga, Malaysia perlu beralih daripada bahan api fosil yang tidak mampan dan merosakkan ke arah penggunaan sumber yang boleh diperbaharui yang jauh lebih besar.

“Sekiranya sumber berkenaan dimanfaatkan dengan berkesan, penggunaan tenaga tidak perlu dicatu. Begitu juga kaedah pengeluaran makanan semasa sama ada tanaman, ternakan atau ikan boleh disesuaikan supaya ia mampan dan regeneratif dan bukannya merosakkan.

“Kemajuan teknologi akan banyak membantu kita dalam usaha ini, seperti penggunaan dron untuk memudahkan pengagihan baja yang lebih tepat atau peningkatan kapasiti bateri untuk memudahkan penyimpanan tenaga… pertumbuhan ekonomi boleh dan mesti diteruskan tetapi ia perlu dikurangkan daripada penggunaan sumber semula jadi yang terhad dan terlalu bergantung kepada ekosistem rapuh,” kata Sultan Nazrin ketika berucap pada sidang kemuncak The Cooler Earth Sustainability Summit, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, baginda bertitah peralihan itu tidak memerlukan Malaysia untuk meninggalkan pertumbuhan ekonomi sama sekali atau pertukaran antara pertumbuhan dan kemampanan kerana pertukaran sedemikian secara tidak adil akan menghalang pembangunan selanjutnya bagi banyak orang, termasuk mereka yang masih belum mencapai tahap kesejahteraan yang paling asas.

Sultan Nazrin bertitah, usaha ke arah kelestarian memerlukan tadbir urus alam sekitar yang lebih baik, oleh itu penyelarasan kawal selia dan pentadbiran yang lebih baik perlu dibangunkan antara agensi yang menguruskan hal ehwal alam sekitar.

“Kita perlu melaksanakan pendekatan berasaskan ekosistem yang merangkumi semua pihak berkepentingan dan sentiasa meletakkan rangkuman sosial dan ekonomi yang luas di tengah-tengah strategi kemampanan kita.

“Pembangunan inklusif, mengikut definisi mesti merangkumi keperluan kedua-dua generasi semasa dan akan datang. Pilihan yang dibuat sekarang akan meninggalkan kesan yang berkekalan bagi masa depan negara,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, peralihan kepada dunia yang lebih baik mesti menjadi nyata dan tidak sekadar menjadi bualan di bibir, oleh itu dasar dan insentif mesti disesuaikan untuk memastikan pertumbuhan berterusan, tetapi dengan cara yang mampan dan inklusif.

Sidang kemuncak Cooler Earth Sustainability Summit, bertemakan Facilitating a Just Transition yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini, bertujuan membolehkan semua pihak berkepentingan membincangkan cabaran dan pelan tindakan segera yang diperlukan untuk membentuk masa depan yang lebih mampan.

Tema tahun ini mencerminkan tindakan global yang mempercepatkan terhadap iklim berikutan COP26 (Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Glasgow, di samping memastikan untuk menyediakan penyelesaian iklim dan rangka tindakan pembangunan sosial yang lebih inklusif, saksama dan adil.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon