Malaysia perlu pertingkat gerakan tarik FDI, terutama dari EU – ASEANBAC Malaysia
31 Ogo 2021
Malaysia perlu mempergiatkan usaha untuk mencapai kemajuan dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI), khususnya pelabur dari Kesatuan Eropah (EU), menurut Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia.
Menurut majlis itu, mesyuarat perundingan dengan ahli majlis perniagaan bersama serta majlis perniagaan asing yang diadakan pada Isnin, turut merumuskan kini merupakan masa yang sesuai untuk memulakan kembali rundingan berkaitan perjanjian perdagangan bebas (FTA) EU-Malaysia.
EU telah menandatangani FTA dengan Singapura dan Vietnam, dan kini sedang merundingkan perjanjian yang sama dengan negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia, jelasnya.
“Justeru, ahli panel dalam mesyuarat perundingan bersetuju bahawa Malaysia perlu terus menggiatkan usaha untuk mencatatkan kemajuan dalam aspek ini,” menurut ASEAN-BAC Malaysia dalam kenyataan pada Selasa.
Sementara itu Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan yang menarik.
“Meskipun banyak cabaran yang sedang dihadapi negara ketika ini, Malaysia kekal sebagai destinasi menarik bagi FDI. Keupayaan modal insan kita, contohnya, kekal ada,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Ahli Majlis ASEAN-BAC Malaysia, Tan Sri Yong Poh Kon pula berkata langkah meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) membolehkan Malaysia mencapai persetujuan dengan EU lebih cepat.
Beliau berkata ini memandangkan peruntukan tertentu yang dinyatakan dalam CPTPP — seperti yang membabitkan buruh — akan sama dengan yang diperlukan dalam FTA dengan EU.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian EU-Malaysia (EUROCHAM), Sven Schneider berkata pihaknya yakin ada keperluan untuk mempunyai rangka kerja rasmi bagi mempertingkatkan perdagangan antara EU dan Malaysia kepada tahap seterusnya.
“Memandangkan beberapa negara ASEAN telah menandatangani atau sedang berada di peringkat lanjutan rundingan FTA dengan EU, kami amat mengesyorkan supaya kerajaan Malaysia memulakan semula dialog FTA yang terhenti,” katanya.
Duta EU di Malaysia, Michalis Rokas pula berkata Malaysia sewajarnya terus menjadi destinasi pelaburan menarik selagi negara ini menawarkan ketelusan dan kebolehramalan dari segi keperluan akses pasaran.
“Malaysia perlu menarik pelabur dan pelaburan asing dengan menyelaraskan dan mempermudah keperluan akses pasaran untuk syarikat asing, dengan cara yang sistemik dan tanpa diskriminasi,” katanya.
Beliau berkata hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan EU secara keseluruhannya memuaskan, namun masih ada potensi kedua-dua pihak yang belum dimanfaatkan untuk diusahakan secara bersama ke arah membangunkan kembali secara lebih baik terutama dalam tempoh pemulihan pasca-pandemik.
Sumber: Bernama