Malaysia perlu rangka kerja kemahiran masa depan – BNM
28 Jun 2023
MALAYSIA perlu membangunkan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) untuk sektor kewangan, ia akan menjadi rujukan tunggal mengenai pembangunan kemahiran dan kerjaya masa depan bagi mereka yang bekerja atau bercita-cita untuk bekerja dalam perkhidmatan kewangan.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Jessica Chew berkata bagi tempoh jangka panjang, FSF harus memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kemahiran dalam tenaga kerja sektor kewangan.
“Institusi kewangan akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi untuk FSF dengan membantu membentuk rangka kerja menjadi sesuatu yang bermanfaat dan relevan kepada institusi dan individu dalam sektor kewangan.
“Dengan menyokong latihan semula dan peningkatan kemahiran individu di mana individu berkenaan berisiko untuk dipindahkan, FSF juga berperanan sebagai strategi pengurusan risiko untuk institusi kewangan menghadapi cabaran undang-undang dan reputasi yang semakin meningkat berkaitan dengan pemberhentian kerja,” katanya ketika berucap pada Persidangan Institut Perbankan Dunia (WCBI) ke-24 pada Rabu.
Selaras dengan tema persidangan ‘Building a workforce fit for the future’ (Membina tenaga kerja yang sesuai untuk masa depan), Jessica berkata, dua perkara yang harus diberi perhatian, pertama – masa depan kerja bukanlah sesuatu yang boleh kita boleh jangka dengan tepat.
“Kedua, aspek budaya tenaga kerja masa depan, di mana sektor itu perlu memberi lebih perhatian terhadap bagaimana ia mengenal pasti, menarik minat dan menyatakan faktor budaya dalam strategi tenaga kerja,” katanya.
Gerakkan strategi bakat
Timbalan gabenor berkata, strategi bakat masa depan juga perlu mewujudkan ketangkasan lebih baik bagi institusi dan individu untuk bertindak balas terhadap keperluan yang berubah dengan menerima norma baharu mobiliti bakat dan menggalakkan kepelbagaian dalam tenaga kerja.
Memandangkan pandemik Covid-19 telah membentuk tenaga kerja yang lebih lancar dan boleh bekerja di mana-mana, Jessica berkata, banyak organisasi sedang menggerakkan strategi bakat mereka daripada mendapatkan bakat kepada mengakses bakat.
“Dalam erti kata lain, firma sedang mencari cara alternatif untuk mengakses bakat sedia ada selain daripada pengambilan pekerja.
Jessica berkata, meningkatkan penglibatan pekerja akan menjadi lebih kritikal untuk membolehkan firma menjangka trend peralihan dengan lebih baik dan melakukan pendekatan untuk membina tenaga kerja yang sesuai pada masa hadapan.
“Ia bukan sesuatu yang luar biasa hari ini untuk mencari sehingga empat generasi berbeza wujud bersama di banyak tempat kerja, masing-masing dengan perspektif berbeza mengenai kepimpinan, pembelajaran dan budaya tempat kerja.
“Menyedari perbezaan ini dalam strategi bakat adalah penting untuk memupuk tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan dengan jayanya,” katanya.
Sumber: Bernama