Malaysia raih potensi nilai perniagaan lebih RM70 bilion di Ekspo 2020 Dubai - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia raih potensi nilai perniagaan lebih RM70 bilion di Ekspo 2020 Dubai

Malaysia raih potensi nilai perniagaan lebih RM70 bilion di Ekspo 2020 Dubai

30 Mac 2022

Malaysia meraih potensi nilai perdagangan, pelaburan dan petunjuk perniagaan bernilai lebih RM70 bilion secara keseluruhannya bagi 26 program mingguan pada Ekspo 2020 Dubai, mengatasi sasaran yang ditetapkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata  nilai itu diperoleh melalui 131 Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian, dan pertanyaan perniagaan melibatkan sejumlah 4,558 mesyuarat, termasuk potensi padanan perniagaan.

“Sebelum penyertaan di ekspo ini, Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion bagi potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan ini berasaskan pencapaian Malaysia di Ekspo Astana, Kazakhstan pada 2017,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Ekspo 2020 Dubai, di sini, pada Rabu.

Ekspo 2020 Dubai berlangsung selama enam bulan bermula Oktober 2021 hingga 31 Mac ini.

Ismail Sabri berkata selain itu Pavilion Malaysia juga menerima 1.1 juta pengunjung sejak bermulanya penganjuran ekspo tersebut sehingga semalam (29 Mac), yang mana ia merupakan satu lagi pencapaian yang membanggakan negara.

“Sebanyak 452 buah syarikat dari Malaysia turut hadir untuk menyertai program perdagangan dan perniagaan yang dilaksanakan secara minggu bertema, mengetengahkan lebih daripada 10 industri, termasuk kesihatan, pendidikan, industri halal, pelancongan dan lain-lain,” katanya.

Perdana Menteri berkata berkata tema Pavilion Malaysia iaitu ‘Energising Sustainability’ tercetus daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang menjadi pelan hala tuju lima tahun untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan.

“Pelan hala tuju tersebut berpaksikan tiga tema iaitu menetapkan semula ekonomi, mengukuhkan keselamatan, kesejahteraan dan keterangkuman serta memajukan kemampanan.

“Pavilion Malaysia menerima kunjungan lebih daripada 130 delegasi peringkat tinggi antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Arab Saudi, Australia, Argentina, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom (UK) serta Kesatuan Eropah.

“Perbincangan  tersebut  disertai lebih daripada 21,000 orang secara fizikal dan 515,000 orang secara maya  bagi meningkatkan pemahaman umum tentang kepentingan, kesukaran dan cabaran yang dihadapi dalam usaha mengimbangi pembangunan sosio-ekonomi dengan kelestarian alam sekitar,” kata Ismail Sabri.

Hadir sama adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi  Datuk  Seri Dr Adham Baba, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Josep Kurup.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon