Malaysia sedia kembali sebagai hab pelaburan serantau, antarabangsa - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia sedia kembali sebagai hab pelaburan serantau, antarabangsa

Malaysia sedia kembali sebagai hab pelaburan serantau, antarabangsa

14 Okt 2021

Malaysia kini bersedia untuk kembali ke landasan sebagai hab pelaburan bagi pelabur serantau dan antarabangsa, disokong kaedah yang kreatif dan inovatif dalam menggalakkan pelaburan yang dilaksanakan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata matlamat tersebut boleh dicapai melalui kerjasama yang berterusan dengan semua anggota Keluarga Malaysia dan gelembung selamat bagi semua perniagaan dengan melaksanakan norma baharu yang wajar, setakat ini.

“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah menggariskan sembilan bidang tumpuan dalam merancakkan semula pelaburan Malaysia antaranya memberikan nafas baharu kepada pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pengupaya ekonomi, menaik taraf keselamatan sosial, menghapuskan kemiskinan tegar dan mengecilkan jurang pendapatan di seluruh negara.

“Keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan kepelbagaian strata sosial telah sekian lama menyediakan peluang kepada pelabur. Perbezaan bangsa misalnya, memerlukan set keperluan yang berlainan. Dari sudut pemahaman lain, lebih banyak produk dan perkhidmatan berpotensi untuk dipasarkan di negara ini,” katanya dalam rakaman awal ucap tama beliau bersempena program Siri Maya 1 Invest Malaysia 2021, hari ini.

Perdana menteri juga menyifatkan Malaysia menyediakan persekitaran yang kondusif kepada komuniti perniagaan untuk melabur, termasuk sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN menerusi Perjanjian Perkongsian  Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Dalam kalangan 15 negara RCEP itu sendiri menjana hampir 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Malah, telah dianggarkan bahawa keseluruhan agregat pendapatan KDNK itu akan meningkat sebanyak US$174 bilion menjelang 2030.

“Ini akan memberi peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kita untuk meningkatkan persaingan di samping memudahkan akses ke pasaran serantau yang lebih luas.

“Iklim pertumbuhan ini diperkukuhkan lagi dengan peningkatan Malaysia yang konsisten dalam bidang infrastruktur digital. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan pantas dalam ekonomi digital, perniagaan dalam talian dan transaksi tanpa tunai,” katanya.

Di peringkat antarabangsa, Ismail Sabri berkata Malaysia kekal sebagai pemain aktif dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik, kerjasama ekonomi antarabangsa yang menawarkan lebih 500 juta penyertaan dengan nilai gabungan KDNK sebanyak US$10 trilion. 

Sementara itu, perdana menteri menyifatkan komponen penting bagi masa depan negara terletak kepada Rangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Jelas beliau, kedua-dua aspek tersebut juga adalah sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang bertujuan membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

“Menerusi 4IR, kita menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi yang diterajui oleh sains, teknologi dan inovasi. Ia akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat atau tenaga kerja dalam bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan Teknologi Blockchain.

“Malah, dengan adanya MyDIGITAL ini, aspek pembuat keputusan akan menumpukan usaha membangunkan infrastruktur dan modal insan. Ini akan memastikan akses lebih meluas dan pengoptimuman penggunaan generasi teknologi baharu,” kata beliau.

Bagi mencapai sasaran tersebut, perdana menteri berkata kerajaan telah mengenal pasti strategi utama serta penting untuk usaha pembaharuan ekonomi yang diwujudkan bagi memacu pemulihan ekonomi dan mempertingkat landskap kompetitif negara di mata pelabur dan meningkatkan penyertaan pelabur serantau dan antarabangsa.

“Malaysia telah memberi perhatian khusus terhadap teknologi hijau dalam 4IR. Masa depan kita juga adalah berkait rapat dengan keadaan alam sekitar. Sejajar dengan tindakan semakin banyak negara melaksanakan matlamat neutral karbon, Malaysia juga telah mula menggalakkan pelbagai sektor dan industri untuk bertindak memajukan teknologi yang bersesuaian.

“Berikutan itu, Bursa Malaysia dan pelbagai kementerian kini giat menumpukan kerjasama secara konsisten untuk melancarkan pasaran karbon secara suka rela dalam peralihan kepada ekonomi karbon sifar,” katanya.

Setakat ini, Ismail Sabri berkata kalangan awam dan sektor swasta juga bekerjasama dari segi wawasan dan strategi bersama untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mesra alam sekitar.

“Kita menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon