Malaysia sertai Pertunjukan Udara Farnborough 2022 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia sertai Pertunjukan Udara Farnborough 2022

Malaysia sertai Pertunjukan Udara Farnborough 2022

12 Jul 2022

Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough (FIA) 2022, pameran perdagangan dwitahunan bagi peserta aeroangkasa dan pertahanan akan berperanan sebagai platform untuk membawa industri aeroangkasa Malaysia ke tahap sebelum pandemik dan seterusnya.

Ia sekali gus menjana pertumbuhan demi pemulihan yang teguh.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Tan Sri Dr Halim Mohammad yang menerajui misi itu berkata, industri aeroangkasa Malaysia menyaksikan prospek yang menggalakkan terhadap perniagaan dan operasi mereka pada tahun ini berikutan pandemik COVID-19 yang memasuki peringkat endemik.

“Industri aeroangkasa adalah industri strategik dan ia prospek yang baik dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh kerajaan untuk menumpukan kepada sektor bernilai tinggi.

“MATRADE sentiasa komited untuk meraih lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat aeroangkasa Malaysia untuk memanfaatkan permintaan di pasaran aeroangkasa global,” katanya menerusi satu kenyataan.

MATRADE telah menyertai pameran dwitahunan FIA sejak 2014 dan menjadi peneraju dalam menganjurkan misi aeroangkasa.

Malah, penyertaan Malaysia di FIA 2022 mulai 18 hingga 22 Julai ini akan mempercepat pemulihan industri aeroangkasa negara berikutan eksport aeroangkasa yang perlahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

FIA dihadiri oleh gergasi aeroangkasa seperti Airbus, Boeing, Embraer dan Bombardier.

Penyertaan Malaysia di FIA bertujuan mempamerkan ekosistem semasa aeroangkasa negara, di samping mengukuhkan hubungan industri dengan pengeluaran barangan asal (OEM) dan pembekal Peringkat 1 dan Peringkat 2 dari seluruh dunia.

Sebanyak 14 syarikat Malaysia dan tiga agensi kerajaan akan mengambil bahagian dalam acara lima hari anjuran MATRADE di bawah Pavilion Malaysia.

“Industri ini telah mencipta pekerjaan kepada lebih 27,500 pekerja berkemahiran tinggi. Kepakaran dan kekuatan Malaysia dalam industri aeroangkasa meliputi perkhidmatan menyelenggara, membaiki dan membaik pulih (MRO) dan pembuatan struktur aero serta komponen enjin,” kata Halim.

Eksport peralatan dan komponen aeroangkasa Malaysia berjumlah RM5.79 bilion pada 2021.

Eksport pasaran utama adalah Perancis, China dan United Kingdom (UK).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon