Malaysia, Singapura rangka kerjasama ekonomi digital, hijau
30 Jun 2022
Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai rangka kerja kerjasama berkaitan ekonomi digital dan hijau dengan matlamat untuk dimuktamadkan pada tahun ini.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur hari ini dan bersetuju bahawa Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang dilancarkan baru-baru ini mempunyai kepentingan strategik dan ekonomi ke arah mengukuhkan ekosistem perdagangan di rantau ini dan memberikan dorongan untuk mengoptimumkan faedah berlipat kali ganda.
Mohamed Azmin dalam kenyataan bersama berkata aspek digital dan hijau segera menjadi bentuk asas ekonomi.
Oleh itu, memulakan kerjasama dalam kedua-dua bidang itu akan membawa manfaat yang lebih luas kepada perniagaan di kedua-dua negara, iaitu dalam aspek keusahawanan, perindustrian, pelaburan dan perdagangan, menurut kenyataan tersebut.
Rangka kerja kerjasama itu juga untuk kedua-dua negara mewujudkan program yang boleh dilaksanakan dan disasarkan untuk menyumbang ke arah hubungan ekonomi global yang mampan, termasuk yang digalakkan melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), katanya.
Pandemik COVID-19 telah menekankan kepentingan saling-hubungan digital antara negara selain mempercepatkan transformasi digital untuk model perniagaan tradisional.
Oleh itu, katanya untuk mempersiapkan fasa pertumbuhan seterusnya dalam ekonomi digital, penting bagi Singapura dan Malaysia menggalakkan kesalingoperasian dan kerjasama yang lebih baik.
Sementara itu, Gan berkata ekonomi digital dan hijau menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan perbincangan mengenai rangka kerja kerjasama akan memberikan manfaat yang ketara kepada kedua-dua ekonomi.
Sumber: Bernama