Malaysia, Thailand meterai 4 MoU bidang tenaga dan ekonomi digital - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Thailand meterai 4 MoU bidang tenaga dan ekonomi digital

Malaysia, Thailand meterai 4 MoU bidang tenaga dan ekonomi digital

08 Feb 2023

Malaysia dan Thailand akan memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Anwar akan menyaksikan majlis pertukaran empat MoU itu di Government House di sini dan majlis itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha.

Zambry berkata pemeteraian itu membabitkan MoU antara Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dengan Digital Economy Promotion Agency of Thailand; Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT); TNB Renewables Sdn Bhd dengan Planet Utility Co Ltd dan TNB Power Generating Sdn Bhd dengan B.Grimm Power Public Co Ltd.

“Pemeteraian keempat-empat MoU tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua negara menerokai potensi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital yang menjadi kepentingan bersama,” katanya pada sidang media malam ini sempena lawatan rasmi perdana menteri ke Thailand.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Anwar akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Thailand selama dua hari bermula esok untuk bertemu rakan sejawatnya Prayuth, bagi membincangkan isu-isu kerjasama dua hala yang mempunyai kepentingan bersama, di samping meneroka peluang kerjasama baharu.

Ini adalah lawatan rasmi antarabangsa keempat Anwar selepas Indonesia, Brunei dan Singapura sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Thailand yang dibina berasaskan kepercayaan dan perkongsian bersama.

“Hubungan simbiotik ini memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara daripada kerjasama yang dilaksanakan dalam pelbagai sektor terutamanya melalui kerjasama rentas sempadan,” katanya.

Anwar dijadualkan berucap mengenai masa depan ASEANpada pertemuan dengan peneraju industri atau ‘Captains of Industry’ dan komuniti perniagaan di Thailand, Jumaat ini.

Tahun lalu, Thailand adalah rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), iaitu peningkatan 17.9 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada tahun 2021.

Jumlah eksport ke Thailand meningkat sebanyak 18.9 peratus berjumlah RM65.84 bilion (AS$14.97 bilion), manakala jumlah import daripada Thailand mencatatkan peningkatan sebanyak 16.7 peratus berjumlah RM56.19 bilion (AS$12.78 bilion), berbanding tahun sebelumnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon