Masih ada sinar buat Melaka di sebalik kemelut pandemik - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Masih ada sinar buat Melaka di sebalik kemelut pandemik

Masih ada sinar buat Melaka di sebalik kemelut pandemik

24 Ogo 2021

Pandemik Covid-19, program vaksinasi, peralihan ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), senario ekonomi dan perancangan pembangunan menjadi antara intipati utama Perutusan Khas Sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-72 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Kerajaan Negeri Melaka pada Selasa, Mohd Ali menyeru agar semua pihak terus bertenang dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 berikutan peningkatan kes di Malaysia amnya dan Melaka khususnya pada masa ini.

Katanya, beliau berharap program vaksinasi yang sedang giat dijalankan pada masa ini, dapat membentuk komuniti kelompok dan bakal memulihkan negara dalam tempoh tidak berapa lama lagi, di samping menyeru rakyat terus membudayakan norma baharu dengan mematuhi semua prosedur operasi standard yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Negeri Melaka dijangka beralih ke Fasa Dua PPN menjelang bulan September 2021 dan tanpa kerjasama daripada semua pihak, usaha mengawal penularan Covid-19 ini tidak mampu dicapai dan akan terus memberi kesan negatif kepada sosioekonomi negeri Melaka,” katanya.

Mohd Ali berkata, antara cabaran utama pandemik Covid-19 adalah rakyat kehilangan sumber mata pencarian bagi meneruskan kehidupan dan secara langsung turut memberi kesan kepada kadar pengangguran di Melaka.

Katanya, pada 2020, Melaka mencatat kadar pengangguran 2.2 peratus iaitu kedua terendah selepas Putrajaya, malah kadar tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding 4.5 peratus di peringkat nasional.

Pun begitu katanya, laporan pelaburan Melaka pada tahun ini memberi gambaran positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri, dan berharap keadaan tersebut terus meningkat sehingga hujung tahun malah pada tahun-tahun mendatang.

Mohd Ali berkata, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Melaka merekodkan RM3.425 bilion jumlah pelaburan sehingga Mac tahun ini, membabitkan RM3.264 bilion pelaburan asing dan RM161 juta pelaburan domestik.

“Walaupun kita sedang berhadapan krisis ekonomi, saya mencadangkan supaya usaha-usaha untuk mempromosi Melaka sebagai salah sebuah destinasi pelaburan yang kondusif di negara ini, akan terus dipertingkatkan.

“Agensi-agensi seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Invest Melaka, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), serta anak-anak syarikat kerajaan negeri hendaklah melaksanakan peranan masing-masing untuk tujuan tersebut,” katanya.

Sebagai negeri yang berteraskan pelancongan, Mohd Ali berkata, penutupan sempadan dan sekatan perjalanan telah memberi impak yang ketara dalam sektor ini, malah kedatangan pelancong ke Melaka menunjukkan penurunan ketara, iaitu 5.7 juta pelancong pada 2020 berbanding 18.73 juta orang pada 2019.

“Bagaimanapun, saya amat berbangga dengan usaha pantas kerajaan negeri, mengatur dan merancang supaya sektor pelancongan ini terus diaktifkan, walaupun dalam keadaan yang amat mencabar.

“Inisiatif seperti membangunkan Melaka Tourism Digital Platform dengan kempen Melaka Safe Haven, Melaka Is The Place To Be dan Relax In Melaka, serta kempen Melakan Visit Melaka amatlah bertepatan, dan harus dilaksanakan secara berterusan bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri ini pada tahun ini, dan menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan utama,” katanya.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri dan anggota pentadbiran kerajaan, pasukan keselamatan dan rakyat di sektor swasta, yang berusaha keras untuk memastikan Melaka terus cemerlang.

“Tidak ketinggalan, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada frontliners yang terus cekal bertugas saban hari tanpa mengira penat dan lelah, dalam memastikan situasi Covid-19 ini dapat ditangani dengan baik.

“Saya juga mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa Covid-19 yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya dan mendoakan semoga semua pesakit Covid-19 diberikan kesembuhan segera,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon