Mekanisme pemudahcara menyeluruh MITI pastikan potensi pelaburan, eksport direalisasi
07 Apr 2023
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata kementerian itu dan agensinya mempunyai mekanisme pemantauan dan pemudahcaraan sedia ada yang teguh dan komprehensif kepada pelaburan dan eksport berpotensi menerusi misi perdagangan dan pelaburan atau cara lain.
Dalam kenyataan pada Khamis, MITI berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestKL akan menjalankan tindakan susulan terhadap potensi pelaburan manakala Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menguruskan potensi eksport.
Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata mekanisme itu membolehkan MITI dan agensinya sangat responsif dalam menyediakan sokongan bagi memastikan komitmen yang diumumkan, sama ada berhubung pelaburan atau eksport, dipermudahkan dan direalisasikan dengan baik.
“Saya juga menekankan pemantauan sewajarnya terhadap indeks prestasi utama bagi setiap projek, yang mesti menyokong matlamat nasional MITI, termasuk menyediakan lebih banyak pekerjaan bergaji lebih tinggi kepada rakyat Malaysia, memastikan pemindahan pengetahuan dan membawa perusahaan kecil dan sederhana untuk meningkatkan lagi rantaian nilai,” katanya.
MITI berkata antara contoh pengesanan yang sesuai bagi projek dan petunjuk berpotensi adalah Mekanisme Pengesanan Pelaburan masa nyata MIDA secara dalam talian oleh Pejabat Pelaksanaan dan Pemudahcaraan Projek (TRACK) MIDA yang memudahkan proses kelulusan dan mempercepat pelaksanaan projek pelaburan.
“InvestKL dan MIDA telah mewujudkan perkhidmatan kemudahan yang menyeluruh untuk membantu setiap pelabur dalam perjalanan pelaburan syarikat, daripada komitmen yang diumumkan sehinggalah kepada pelaksanaan.
“Malah, terdapat semakan kejayaan penting yang bersesuaian dan semakan pasca pelaburan berkala bagi memastikan pelaburan ini akan menyumbang kepada Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan mampan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata Kabinet menerima kemas kini angka pelaburan komited secara suku tahunan sebelum mengeluarkan siaran akbar kepada media.
“Dari segi angka prestasi eksport, MATRADE mengeluarkan siaran akhbarnya pada setiap bulan. Kesemuanya ini turut tersedia kepada orang ramai,” katanya.
Menurut MITI, kemas kini berkenaan pemantauan projek pelaburan akan menjadi sebahagian daripada agenda tetap Majlis Pelaburan Negara (MPN) Malaysia bagi memastikan tahap komitmen tertinggi dalam merealisasikan potensi pelaburan utama.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah pengerusi MPN yang baru ditubuhkan yang dijadualkan mengadakan mesyuarat pertamanya tidak lama lagi,” katanya.
Menurut kementerian, bagi meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) telah diaktifkan, dengan MITI berperanan sebagai sekretariat bagi memastikan perjalanan pelabur dipermudahkan secara menyeluruh.
Sumber: Bernama