Melaka yakin capai pelaburan RM7.6 bilion menjelang hujung tahun ini – Ketua Menteri
02 Ogo 2023
Kerajaan negeri Melaka yakin dapat mencapai pelaburan berjumlah RM7.6 bilion menjelang hujung tahun ini, mengatasi sasaran awalnya sebanyak RM5 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata setakat ini, bagi tahun ini, Melaka telah menerima pelaburan berjumlah hampir RM6 bilion dan optimis bakinya dapat dicapai menerusi komitmen dari China dan Jerman selepas ini.
“Kita sasar pelaburan sebanyak RM5 bilion pada tahun ini dan ia (jumlah itu) telah dicapai menerusi pelaburan daripada Texas Instruments dan kita yakin mampu menerima sejumlah RM2.6 bilion lagi pelaburan dari China dan Jerman menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Pada Jun lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata Texas Instruments melabur sebanyak RM14.6 bilion untuk mengembangkan operasi kilangnya di Kuala Lumpur dan Melaka dengan pengeluaran di kedua-dua lokasi tersebut dijangka bermula seawal 2025.
Tengku Zafrul dipetik sebagai berkata pelaburan syarikat semikonduktor beribu pejabat di Amerika Syarikat itu yang berjumlah RM9.6 bilion di Kuala Lumpur akan mewujudkan 1,300 peluang pekerjaan manakala jumlah RM5 bilion yang akan dilaburkan di Melaka bakal mewujudkan 500 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Sementara itu, ketika menggulung perbahasan, Ab Rauf berkata kerajaan negeri sedang meneliti beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan bagi merancakkan sektor pelaburan di negeri berkenaan, antaranya menggalakkan penyertaan pihak swasta untuk pelaburan berkualiti.
“Invest Melaka Berhad akan diberi peranan untuk membentuk Jawatankuasa penasihat Pelaburan Negeri Melaka sebagai pemudah cara pelaburan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengutamakan bidang sedia ada dan pertumbuhan baharu yang memiliki nilai tambah tinggi, diterajui teknologi termasuk pembuatan semikonduktor berteknologi tinggi.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga menyasarkan pembangunan kawasan perindustrian baharu di seluruh negeri seperti projek MCorp Hi-Tech Park seluas 2,023 hektar di Masjid Tanah di Alor Gajah, pembesaran Industri Elkay seluas 243.5 hektar di Lipat Kajang, Jasin, serta kawasan perindustrian seluas 809.3 hektar di koridor ekonomi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan turut membangunkan kawasan perindustrian baharu yang dikenali sebagai Taman Teknologi Jerman (GIP) serta merangka Pelan Induk Perindustrian Negeri Melaka untuk menterjemahkan hala tuju perindustrian negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Bagi tujuan itu, katanya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkukuh melalui kerjasama pemain industri terutamanya dalam sektor pembuatan manakala penyediaan penginapan pekerja yang kondusif di Penginapan Pekerja Berpusat akan dilaksanakan secara bersasar di seluruh daerah di Melaka bermula 2025.
Sumber: Bernama