MIDA akan beroperasi dengan kakitangan minimum semasa PKP
12 Jan 2021
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus berfungsi di MIDA Sentral tetapi dengan jumlah kakitangan yang minimum, bagi membantu perniagaan dalam operasi mereka berikutan pengenaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
PKP yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berkuat kuasa esok.
Dalam usaha mengutamakan keselamatan kakitangan di samping mengurangkan gangguan kepada perkhidmatan dan operasi perniagaan, pegawai MIDA akan bekerja dari rumah secara bergilir-gilir.
MIDA melalui satu kenyataan hari in menjelaskan ia menggalakkan pihak berkepentingan untuk memanfaatkan pelbagai alat teknologi yang tersedia bagi komunikasi jauh atau mesyuarat maya seperti persidangan video dan panggilan persidangan.
“Penglibatan dalam talian untuk pertanyaan perniagaan boleh diatur melalui https://appointment.mida.gov.my/appointment/ dan pertanyaan am lain boleh dikemukakan pada https://investmalaysia.mida.gov.my/eTRANS_TH/LoginCS.aspx,” katanya.
Pegawai MIDA, khususnya pengarah dan timbalan pengarah juga boleh dihubungi dengan mudah melalui e-mel masing-masing pada https://www.mida.gov.my/contact-us/;
“Penghantaran dokumen melalui pos atau perkhidmatan kurier digalakkan bagi mengurangkan hubungan fizikal di MIDA. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mida.gov.my atau ikuti MIDA di platform media sosial, seperti Twitter, Instagram, Facebook dan LinkedIn,” tambahnya.
Sumber: Bernama