MIDA, CIDB meterai MoU untuk tingkatkan standard, daya saing sektor pembinaan
11 Nov 2021
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan penggunaan teknologi dan amalan terbaik global dalam kalangan pemain industri pembinaan Malaysia bagi meningkatkan standard dan daya saing sektor berkenaan.
MoU itu, dengan komitmen perkongsian selama lima tahun untuk mengukuhkan Pelan Strategik Pembinaan 4.0, adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Dasar Negara mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD), kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.
“Kerjasama itu juga akan menyaksikan kedua-dua pihak mempertingkatkan bidang pembangunan dasar dan advokasi; penyelidikan dan pembangunan, latihan dan promosi Sistem Bangunan Berindustri (IBS); teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Revolusi Pembinaan 4.0 (CR4.0); inisiatif hijau dan kualiti bahan binaan; serta promosi pelaburan dalam sektor berkaitan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata MoU itu akan memaksimumkan pengeluaran, meningkatkan pelaburan, menambah baik kualiti dan mengamalkan kemampanan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.
“Industri digalakkan untuk mengusahakan amalan mampan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke arah meningkatkan daya saing Malaysia.
“Kami ada di sini untuk memberi nasihat mengenai insentif IBS, inisiatif hijau dan pematuhan bahan binaan, penyelidikan dan pembangunan, latihan dan usaha promosi,” katanya.
Dalam tempoh lima tahun lepas, MIDA telah meluluskan sejumlah 56 projek IBS untuk lesen pembuatan bernilai RM4.5 bilion dalam pelaburan dengan 4,521 peluang pekerjaan, termasuk jawatan mahir untuk jurutera, pengawal kualiti khusus dan juruteknik berkemahiran tinggi.
Sumber: Bernama