MIDA gesa syarikat tempatan laksana pendigitalan
25 Feb 2021
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa perniagaan, terutama perusahaan kecil dan menengah (PKS) untuk melaksanakan pendigitalan dan memupuk budaya inovasi dalam perniagaan mereka supaya kekal berdaya tahan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA, Ahmad Khairuddin Abdul Rahim berkata bagi memacu pertumbuhan perniagaan dan kekal relevan dalam persekitaran kebiasaan baharu ketika ini pemimpin perniagaan, terutamanya PKS harus berkir secara kreatif dan berinovasi terhadap model perniagaan mereka.
“Kesediaan untuk berinovasi juga harus seiring dengan pemahaman mengenai bagaimana memupuk budaya inovasi dalam kehidupan harian. Fokus berkenaan akan membantu perniagaan Malaysia beralih daripada model pertumbuhan konvensional lama kepada membangunkan pertumbuhan baharu melalui penggunaan sistem
digital,” katanya dalam ucapan perasmiannya semasa sesi Webinar mengenai ‘Domestic Investment’ yang diadakan secara maya hari ini.
Sesi yang bertemakan “Innovation and Transition to New Business Models” oleh Jabatan Politeknik dan Pendidikan Kolej Komuniti (DPCCE), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Sirim Bhd dan AmBank.
Dasar Kebangsaan mengenai IR 4.0 atau dikenali sebagai Industry4WRD adalah panduan terbaik dan insentif Penilaian Kesediaan Industry4WRD serta Dana Intervensi membolehkan syarikat tempatan menilai kemampuan dan kesediaan mereka untuk menggunakan proses Industri 4.0, memahami keupayaan dan jurang mereka ketika ini serta menyiapkan rancangan bagi penerapan Industri 4.0 dengan berkesan.
“Ini merupakan langkah pertama bagi perusahaan di Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan lanskap teknologi yang sentiasa berubah dengan pantas dan pada masa yang sama membangunkan bidang pertumbuhan baharu dengan mengutamakan kecekapan operasi dan ketahanan melalui digital dan teknologi automasi,” katanya.
Ahmad Khairuddin berkata pemboleh kritikal lain adalah pekerja mahir dan program peningkatan untuk mendorong dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia seterusnya ketersediaan tenaga kerja mahir akan menyokong peralihan semua sektor ekonomi ke arah aktiviti berintensifkan pengetahuan.
“Kerajaan juga memperkenalkan Elaun Modal Automasi, sebuah inisiatif utama untuk memotivasikan perusahaan tempatan melakukan automasi dan menaik taraf mesin. Pemberian Geran Automasi Pintar di bawah peruntukan RM100 juta adalah inisiatif yang diberikan kepada PKS dan syarikat pertengahan berdasarkan padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak, hingga had pemberian maksimum RM1 juta bagi satu syarikat,” katanya.
Sementara itu, webinar tersebut menerima penyertaan lebih daripada 300 peserta, termasuk pengeluar, penyedia perkhidmatan dan bakal pelabur.
Sumber: Bernama