MIDA mampu realisasi sasaran dapatkan RM70 bilion pelaburan digital - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA mampu realisasi sasaran dapatkan RM70 bilion pelaburan digital

MIDA mampu realisasi sasaran dapatkan RM70 bilion pelaburan digital

09 Feb 2023

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berada di landasan untuk merealisasikan sasaran RM70 bilion bagi pelaburan berkaitan digital, sejajar dengan strategi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang menggariskan usaha dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.

Berasaskan strategi mantap yang dilaksanakan untuk memastikan pelaburan berkaitan digital kekal berdaya saing di negara ini, Pejabat Pelaburan Digital (DIO), sebuah platform kerjasama antara MIDA dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), berjaya memudah cara pelaburan bernilai RM66.47 bilion setakat September 2022, iaitu 99 peratus melebihi sasaran berdasarkan inisiatif MyDIGITAL.

Pusat data terkenal dan projek pengehosan data yang diluluskan termasuk Bridge Data Centres Malaysia III Sdn Bhd oleh China bersama ByteDance System Sdn Bhd serta syarikat senaraian awam Malaysia, YTL Power International Bhd menjadi bukti kesediaan Malaysia untuk menjadi hos kepada lebih banyak projek pelaburan digital.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Perkhidmatan) MIDA, Zuaida Abdullah, berkata penerimagunaan digital dalam kalangan perniagaan di negara ini semakin pesat, walaupun ia masih rendah dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disebabkan kekangan seperti kos teknologi dan ketiadaan strategi digital.

“Pendigitalan oleh perniagaan semakin lazim pada hari ini. Walaupun usaha itu mencabar bagi PKS, mereka harus menerima kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Data Raya.

“Bagi tujuan ini, MIDA memudahkan peserta industri dalam usaha transformasi digital mereka untuk mengurangkan jurang digital antara PKS Malaysia dan syarikat multinasional (MNC) di Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

MIDA bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Intel Malaysia melancarkan buku kecil kompilasi bukti konsep projek ‘Productivity Through Digitalisation – AI4S Programme’ yang mengetengahkan 31 projek rintis lengkap pada 22 Jun, 2022.

Program AI4S adalah program AI untuk PKS.

Sebanyak 100 PKS dipilih menyertai program AI4S, dengan syarikat terbabit menjalani proses pembolehan teknologi dan latihan menyeluruh bagi melaksanakan projek rintis diperibadikan untuk perniagaan mereka memulakan usaha penerimagunaan teknologi AI dengan pantas.

Penubuhan DIO dan DICP

MIDA dan MDEC mewujudkan DIO pada 2021 untuk menarik, menyelaras, mempromosikan dan memudah cara semua pelaburan digital di Malaysia, selain memperkukuh kerjasama antara semua agensi penggalak pelaburan (IPA) di Malaysia.

Langkah ini disokong oleh Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IR).

Zuaida berkata, penubuhan DIO itu adalah tepat pada masanya dan seiring dengan peralihan pelaburan global kepada pendigitalan dan Revolusi Perindustrian (IR4.0), mencipta saranan nilai unik dan menarik untuk membawa lebih banyak projek berkaitan digital.

“DIO mengadakan libat urus dan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan negeri, penyedia perkhidmatan, IPA, agensi teknikal dan jabatan lain yang berkaitan.

“Ia memanfaatkan rangkaian global MIDA yang mempunyai 21 pejabat luar negara dan 12 pejabat wilayah di seluruh Malaysia untuk menemui pelabur di peringkat lapangan dan membantu dalam pelaksanaan projek mereka,” katanya.

Selain itu, Platform Penyelarasan Pelaburan Domestik (DICP) pula ditubuhkan pada 2018 untuk membantu dan memudahkan syarikat tempatan terutama PKS dalam usaha merapatkan jurang kewangan dan teknologi di samping memperoleh akses pasaran menerusi kerjasama strategik atau usaha sama dengan rakan kongsi yang berpotensi.

Skopnya termasuk suai padan perniagaan teknologi, pembiayaan projek, pengumpulan modal (hutang dan ekuiti), penggabungan dan pembelian, penjualan dan pengambilalihan serta tawaran awam awal (IPO).

“Pada masa ini, unit DICP yang berada di bawah bidang kuasa Bahagian Pelaburan Domestik MIDA, menyelia tiga inisiatif utama iaitu mewujudkan hubungan yang lebih baik dengan sektor perbankan sedia ada, menghubungkan dengan pembiaya pembiayaan alternatif dan mengadakan libat urus dengan syarikat yang bersedia untuk menawarkan IPO,” katanya.

Strategi galakan pelaburan digital

Zuaida turut berkongsi bahawa Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti dan menggalakkan syarikat-syarikat untuk menerimaguna teknologi baharu dan maju bagi memperkukuh ekosistem industri dengan meningkatkan lagi tahap produktiviti, kecekapan serta menambah baik keupayaan tempatan.

“Memandangkan pendigitalan adalah satu segmen yang berubah pesat serta norma baharu, kami turut menyambut baik teknologi baharu yang dapat memantapkan lagi kemampuan Malaysia sebagai sebuah negara digital.

“Sejajar dengan IR4.0, perniagaan misalnya turut berminat untuk mendapatkan pengetahuan serta kepakaran yang diperlukan,” katanya.

Strategi utama yang digariskan MIDA bagi menggalakkan pelaburan digital itu termasuk Industry4WRD, Dasar Kebangsaan Mengenai Industri 4.0, Dana Intervensi Industry4Wrd dan Elaun Modal Automasi.

Beliau juga menyifatkan inisiatif kerajaan dalam mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G menerusi Digital Nasional Bhd sebagai elemen pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Penerimaan teknologi 5G dijangka dapat meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.0 peratus atau RM122 bilion dan mewujudkan 750,000 pekerjaan berkemahiran tinggi pada 2030, memacu kecekapan, meningkatkan produktiviti serta menjana peluang baharu bagi ekonomi Malaysia,” katanya.

Setakat Disember 2022, usaha pelaksanaan 5G telah mencapai hampir 50 peratus kawasan liputan di seluruh negara.

Prospek dan tumpuan 2023

MIDA akan terus menggalakkan serta melaksanakan pelan tindakannya untuk meningkatkan penerimagunaan pendigitalan dalam perniagaan dengan lebih banyak tumpuan terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam projek yang dirancangkan.

Sambil menyifatkan usaha berkaitan agenda ESG dan transformasi digital itu sebagai penting, beliau berkata ini lebih ketara pada masa ini yang menjadi tempoh terbaik untuk perniagaan dan teknologi bekerjasama bagi merancang masa depan yang lebih mampan.

“Syarikat-syarikat pusat data misalnya, menetapkan sasaran korporat untuk mengurangkan jejak karbon dan mengetengahkan impian besar bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih dalam tempoh 20-30 akan datang.

“Pada kesudahannya, amalan ESG itu penting kerana memberi manfaat kepada alam sekitar serta masyarakat. Malah, dengan tindakan proaktif dari segi penggalakan dan pelaksanaan inisiatif lestari, industri pusat data akan berada dalam kedudukan terbaik untuk memainkan peranan penting dalam menghubungkan ekonomi global,” katanya.

Selain itu, MIDA turut menggesa MNC untuk melabur dalam dalam aspek mempertingkat kemahiran, latihan semula dan mempelbagai kemahiran dalam usaha merapatkan lagi jurang yang juga sebahagian daripada elemen sosial ESG.

Merujuk Microsoft sebagai contoh, Zuaida berkata syarikat teknologi itu telah mengumumkan komitmennya untuk meningkatkan kemahiran sejuta rakyat Malaysia menjelang akhir 2023 menerusi inisiatif ‘Bersama Malaysia.’

“Setakat Ogos 2022, Microsoft mencapai 60 peratus daripada sasaran meningkatkan kemahiran terbabit atau menyamai 600,000 bakat,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon