MIDA, Perodua bekerjasama dalam pendigitalan pembekal automotif tempatan
15 Ogo 2022
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perodua hari ini secara rasmi telah melancarkan kerjasama strategik iaitu Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-Perodua, yang bertujuan untuk menaik taraf pembekal automotif tempatan melalui penerapan Industri 4.0.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Arham Abdul Rahman, usaha agensi itu dalam membantu syarikat tempatan mengguna pakai pendigitalan serta Industri 4.0 telah menyumbang kepada pertumbuhan besar dalam angka pembuatan kereta Perodua.
Fasa pertama program ini telah merapati tiga rakan kongsi Perodua yang berpotensi, dan bergerak ke arah fasa dua, lima lagi syarikat tempatan telah dikenal pasti untuk menyertai program yang telah menunjukkan banyak potensi termasuk peluang pertumbuhan.
“Kerjasama MIDA-Perodua diawali pada 2020, adalah penting bagi memastikan pembangunan mantap keupayaan pemain tempatan kami dalam industri automotif.
“Syarikat-syarikat ini telah diberikan Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sehingga RM10 juta sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membantu syarikat tempatan dalam memulakan rantaian bekalan global,” katanya semasa pelancaran hari ini.
Selain daripada bantuan pembiayaan, kerajaan melalui MIDA akan memperluaskan perkhidmatan sokongannya untuk membantu syarikat-syarikat ini memperoleh pertumbuhan daripada segi produktiviti, bakat termasuk merapatkan jurang kewangan dan teknologi.
“Kami yakin melalui kemudahan serta langkah pemerkasaan sedemikian, pemain automotif ini akan dapat meningkatkan penawaran perniagaan termasuk kepakaran mereka untuk menginovasi produk dan perkhidmatan selain membangunkan ekosistem rantaian bekalan,” katanya.
Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu komited sepenuhnya untuk mencapai objektif program ini bagi membantu pembekalnya dalam melaksanakan pendigitalan dan Industri 4.0 secara berpandu.
“Pelaksanaan Industri 4.0 bukan sahaja bermanfaat untuk pembekal automotif tetapi impak program ini akan banyak menyumbang kepada agenda transformasi digital negara,” katanya.
Sokongan yang diberikan oleh MIDA adalah penting kerana program ini akan membatalkan sebarang keperluan untuk kos pembiayaan dibebankan kepada pelanggan.
“Bagi baki 2022, Perodua telah memutuskan bahawa ia masih mampu menyerap sebarang kenaikan harga bahan pembuatan malah akan terus membantu vendor kami bertahan dalam perniagaan mereka,” tambah beliau lagi.
Sumber: Bernama