Mimos, Maxis, Huawei tubuh hab inovasi 5G dan AI - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Mimos, Maxis, Huawei tubuh hab inovasi 5G dan AI

Mimos, Maxis, Huawei tubuh hab inovasi 5G dan AI

10 Mac 2022

Mimos Bhd, Maxis Bhd dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) telah menjalin kerjasama untuk membina Hab Inovasi 5G dan AI.

Hab yang terletak di kampus Mimos ini akan membantu mempercepatkan kes penggunaan industri yang digerakkan oleh 5G, Internet Pelbagai Benda (IoT), Pengkomputeran Awan dan Kecerdasan Buatan (AI), kata ketiga-tiga pihak dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Sebaik beroperasi sepenuhnya, hab ini akan menjadi co-creationtestbed untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inkubator untuk penyelesaian inovatif, dan bakal memberi akses kepada perusahaan untuk menggunakan infrastruktur dan kemudahan yang didayakan oleh teknologi canggih.

“Aktiviti R&D kami yang dipacu pasaran tertumpu kepada melahirkan pemain teknologi tempatan yang mampu menghasilkan penyelesaian bagi memenuhi keperluan pasaran, serta mempunyai potensi untuk dieksportkan pada masa depan.

“Adalah penting bagi Malaysia untuk menjadi sebuah tempat yang boleh menghasilkan penyelesaian inovatif AI dan 5G secara global. Dengan ekosistem inovasi yang kukuh, ia dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada industri,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos Dr Iskandar Samad.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gokhan Ogut pula berkata syarikat sentiasa komited untuk menyokong agenda digital negara.

“Kerjasama ini adalah penting untuk merungkai potensi besar teknologi canggih yang boleh digunakan oleh industri.

“Dengan berbekalkan kepimpinan dalam rangkaian, perkhidmatan digital dan penyelesaian kesalinghubungan, kami akan bersama-sama membawa teknologi terbaik untuk membolehkan orang ramai, perusahaan dan negara sentiasa berada di hadapan dalam dunia yang sentiasa berubah,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Michael Yuan berkata hab itu juga akan membolehkan rakan kongsi dalam ekosistem tempatan menggunakan teknologi 5G, AI dan Pengkomputeran Awan.

“Kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami ke arah inovasi bersama, dan kami berharap dapat terus bekerjasama dengan rakan strategik kami dalam berinovasi untuk memajukan ekonomi digital Malaysia,” tambah beliau.

Perusahaan dan peserta industri boleh melayari www.5g-ai-hub.my untuk mengetahui lebih lanjut tentang hab dan menjadualkan lawatan ke hab berkenaan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon