Minggu Teknologi London platform pupuk kerjasama digital antarabangsa – Fahmi
12 Jun 2023
Pembabitan Malaysia di Minggu Teknologi London (LTW) bakal mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam bidang teknologi digital terutama sebagai hab pemprosesan data dan perkhidmatan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata LTW yang berfungsi sebagai platform mempamerkan inisiatif terbaharu digital dapat memupuk perkongsian antarabangsa dalam memacu inovasi dan merapatkan jurang digital.
“Saya teruja menyertai LTW ini. Antara perkara yang hangat dibincangkan adalah aspek tenaga kerja.
“Di United Kingdom (UK), jumlah tenaga kerja yang tidak mencukupi dalam bidang IT mencecah 2.5 juta orang. Saya lihat kalau di UK pun hadapi masalah ini apatah lagi kita di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis perasmian LTW di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia yang berada di posisi strategik ekonomi digital dengan akses kepada 600 juta populasi Asean dan KDNK sebanyak AS$3.0 trilion perlu segera menangani isu ini.
Sepanjang LTW, Fahmi akan menyertai beberapa sesi meja bulat bersama tokoh serta eksekutif perniagaan selain menyampaikan ucaptama dan menjadi ahli panel forum.
LTW yang berlangsung dari 12-16 Jun menghimpunkan pemain industri digital dunia membuka tirai pagi ini di London.
Berlangsung di Queen Elizabeth II Centre, LTW dirasmikan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan.
Lebih 30,000 pengunjung termasuk pemain industri digital disasar hadir selain pemula niaga dan pelabur.
Pembabitan Malaysia menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) diketuai Fahmi, dan ia kesinambungan daripada penyertaan pada edisi penganjuran tahun lalu.
Beberapa peluang baharu dijangka diraih menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman antara MDEC dengan UK-ASEAN Business Council dan International Data Center Authority yang bekerjasama dengan Commonwealth Enterprise and Investment Council.
Turut jadi perhatian adalah pengumuman pelaburan daripada 10 syarikat United Kingdom.
Malaysia menyasarkan sektor pelaburan ekonomi digitalnya mencapai RM130 bilion menjelang 2025.
Sumber: Bernama