MITI akan pastikan perdagangan kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara
31 Dis 2022
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memastikan perdagangan kekal sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan Malaysia pada 2023.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang dijangka mencabar, MITI juga turut memberi fokus kepada memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing.
“Kita juga perlu memastikan penggubalan dan pelaksanaan mana-mana perjanjian perdagangan dua hala, mahupun pelbagai hala akan memberi nilai dan kelebihan yang padu kepada pemain domestik.
“Ini terutamanya dalam rantaian bekalan Malaysia khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS,” katanya.
Menerusi video ringkas ucapan Tahun Baharu 2023 hari ini, Tengku Zafrul juga mengajak rakyat Malaysia membulatkan tekad, bersama-sama berusaha sehabis baik demi Malaysia tercinta.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera, saya Tengku Zafrul serta warga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023,” katanya.
Sumber: Bernama