MITI anjur webinar untuk PKS - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI anjur webinar untuk PKS

MITI anjur webinar untuk PKS

01 Mei 2021

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensinya akan menganjurkan webinar ‘The Road Ahead with Industry4WRD‘ untuk meningkatkan kesedaran komuniti perniagaan tempatan mengenai Industri 4.0 (I4.0).

Menurut kenyataan MITI pada Sabtu, webinar sehari pada 4 Mei itu bukan sahaja menekankan pemahaman I4.0 malah inisiatif kerajaan untuk mempermudah penerimagunaan I4.0 oleh syarikat.

Acara yang dijangka menarik lebih 200 peserta industri itu bertujuan mempromosikan program Penilaian Kesediaan (RA) Industri4WRD dan Dana Intervensi (IF) MITI di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

“RA Industri4WRD merupakan program menyeluruh untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menilai kemampuan dan kesediaan mereka bagi menerima guna teknologi dan proses I4.0, dengan menggunakan beberapa petunjuk yang telah ditentukan untuk memahami kemampuan dan jurang semasa yang dihadapi syarikat.

“Melalui program ini, PKS akan dinilai berdasarkan tiga faktor peralihan penting kepada I4.0 iaitu orang, proses dan teknologi,” menurutnya.

MITI menjelaskan PKS yang menjalani program RA Industri4WRD akan menerima laporan yang memperincikan kesediaan mereka serta cadangan untuk beralih kepada I4.0.

Mereka kemudian boleh memanfaatkan Dana Intervensi Industri4WRD – geran padanan yang menyediakan nilai maksimum berjumlah RM500,000 dengan pendahuluan 30 peratus diberikan oleh kerajaan untuk mereka memulakan strategi intervensi ke arah penerimagunaan I4.0.

PKS juga boleh memohon insentif lain seperti Dana Strategik Pelaburan Domestik dan Dana Impak Tinggi untuk melancarkan pelan peralihan kepada I4.0 mereka, tambah MITI.

“Bagi pelaksanaan inisiatif berkaitan I4.0 secara berterusan, kerajaan telah meluluskan peruntukan maksimum RM100 juta untuk RA dan IF bagi pelaksanaan lima tahun akan datang di bawah RMKe-12.

“Kerajaan akan menyokong dan membantu lebih banyak PKS dalam perjalanan transformasi digital I4.0 mereka dan meningkatkan industri khususnya PKS untuk terus berdaya saing dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi disruptif, menerusi peruntukan RM50 juta di bawah Belanjawan 2021 serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA),” jelas MITI.

Agensi yang terlibat dalam acara yang akan dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong itu termasuk Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), SIRIM Bhd, MIMOS Malaysia, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan PKS.

PKS yang berminat untuk menyertai webinar ini boleh layari www.miti.gov.my.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon