MITI harap hubungan perdagangan Malaysia-China terus mengukuh – Tengku Zafrul
06 Jan 2023
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap hubungan perdagangan Malaysia-China akan terus diperkukuhkan menerusi penglibatan berterusan antara kedua-dua negara, kata menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata demikian menerusi laman Twitternya selepas bertemu dengan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing, hari ini.
Semasa pertemuan tersebut, antara perkara yang dibincangkan adalah hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China serta langkah-langkah untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, katanya.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 13 tahun berturut-turut (2009-2021).
Semasa wawancara bersama saluran CNBC semalam, Tengku Zafrul berkata langkah China untuk membuka semula sempadannya minggu depan memberi prospek yang baik kepada sektor pelancongan dan ekonomi Malaysia.
Menurut data daripada Tourism Malaysia, semasa tempoh sebelum pandemik, China menyumbang kedatangan pelancong ketiga terbesar di Malaysia dengan kira-kira 3.1 juta pelancong dari negara tersebut melawat Malaysia pada 2019, daripada keseluruhan 26.1 juta orang.
Sumber: Bernama