MITI jana potensi FDI RM170 bilion, Rm2.44 bilion eksport ke China
01 Apr 2023
Misi perdagangan serta pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke China telah menjana RM170 bilion potensi pelaburan langsung asing (FDI) termasuk RM2.44 bilion potensi eksport ke republik itu.
Misi berkenaan, yang bertepatan dengan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China telah diketuai oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dari 31 Mac hingga 2 April 2023, merangkumi lawatan ke Beijing dan Bandar Ningbo.
Misi itu disokong Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan InvestKL.
Tengku Zafrul juga mengadakan pertemuan dengan lima pelabur berpotensi China di Beijing, kata Miti dalam satu kenyataan hari ini.
“Misi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MITI dalam menarik pelaburan berkualiti serta meletakkan syarikat Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, lebih tinggi dalam rantaian nilai global.
“Kami didorong oleh sambutan positif yang ditunjukkan dalam potensi FDI bernilai RM170 bilion dan potensi eksport sebanyak RM2.44 bilion.
“Ini mencerminkan minat China yang kukuh terhadap Malaysia, didorong oleh fokus pro-industri, pro-perdagangan dan pro-pelaburan MITI,” kata Tengku Zafrul.
MITI juga meraih pelaburan penting dalam sektor yang disasarkan di bawah Dasar Pelaburan Baharu, termasuk produk elektrik dan elektronik serta ekonomi digital, yang akan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.
Pada 1 April 2023, acara penting semasa misi itu termasuk Mesyuarat Meja Bulat antara Perdana Menteri dan 36 peneraju industri China serta Forum Perniagaan Malaysia-China 2023 yang dihadiri lebih 1,000 wakil perusahaan dari China dan Malaysia.
Penyertaan kukuh pemimpin perniagaan dari kedua-dua negara menandakan sokongan padu dan keyakinan terhadap hala tuju masa depan hubungan ekonomi Malaysia-China di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri turut menyaksikan pemeteraian 19 Memorandum Persefahaman antara syarikat Malaysia serta China untuk projek masa depan di Malaysia, dalam sektor seperti pendidikan, kesihatan, automotif, hartanah, kitar semula sisa dan logistik.
Sumber: Bernama