MITI komited wujudkan ekosistem pertumbuhan bernilai tinggi bagi sokong pelabur
11 Jul 2023
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk menyokong pelabur semasa dan pelabur berpotensi dengan mewujudkan ekosistem pertumbuhan bernilai tinggi.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sebagai peneraju dan bertanggungjawab untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia, MITI memberi tumpuan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi berdaya saing untuk pelaburan bernilai tinggi yang dapat mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan holistik.
“Menyedari cabaran global, kami pertingkatkan usaha kami untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing negara, berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12, Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030),” katanya pada pelancaran trak penggerak utama tugas berat elektrik pertama Volvo Trucks Malaysia.
Kedua-dua dasar NIP dan NIMP2030 menyasarkan untuk memperkenalkan pembaharuan institusi dalam menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan dan membangunkan industri untuk menjadi lebih kompleks, berteknologi tinggi dan mampan, sejajar dengan aspirasi negara.
“Dalam melaksanakannya, MITI kekal terbuka kepada maklum balas yang membina. Oleh itu, kami mengalu-alukan pelabur untuk berkongsi pengalaman dan cadangan mereka mengenai bagaimana kami dapat menambah baik ekosistem pembuatan dan perindustrian di Malaysia.
“Kami berharap untuk mendengar input daripada Volvo Trucks Malaysia mengenai perkara ini sebagai pelabur lama,” katanya.
Beliau berkata sebagai respons kepada trend digital yang semakin meningkat selepas pandemik, Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) amat menekankan pembangunan penyelesaian mobiliti baharu yang cekap, mampan dan berteraskan pelanggan.
Ini termasuk menggalakkan kenderaan cekap tenaga selain kenderaan terhubung dan autonomi iaitu kenderaan generasi akan datang termasuk kenderaan elektrik (EV) serta Mobiliti sebagai Perkhidmatan.
Tengku Zafrul berkata Malaysia melihat potensi dalam pasaran EV ASEAN, yang dijangka berkembang kepada RM11.77 bilion menjelang 2027.
“Di Malaysia, kerajaan komited untuk memacu usaha menarik pelaburan EV dan mencapai sasaran negara sebanyak 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri untuk EV dan hibrid menjelang 2030.
“Sehubungan itu, penting untuk kami membangunkan dasar untuk menyokong pilihan pelaburan yang bukan sahaja memilih kotak yang betul dari segi mewujudkan pekerjaan dengan pendapatan tinggi, tetapi juga menyediakan kestabilan ekonomi yang mampan dan jangka panjang,” katanya.
Sumber: Bernama