MITI lulus permohonan Tesla import kenderaan elektrik – Tengku Zafrul
01 Mac 2023
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) ke Malaysia.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Tesla akan menubuhkan ibu pejabat, pusat pengalaman dan perkhidmatan serta rangkaian Supercharger di negara ini.
Katanya, ini akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran dengan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat Malaysia.
“Kemasukan Tesla dipermudahkan oleh MITI menerusi pengenalan inisiatif BEV Global Leaders yang menyasarkan membantu meningkatkan permintaan BEV di pasaran tempatan,” katanya menerusi ciapan Twitter, hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, Tesla, merupakan pemohon pertama inisiatif tersebut.
Sumber: MalaysiaGazette