MITI permudah pembangunan semula industri aeroangkasa - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI permudah pembangunan semula industri aeroangkasa

MITI permudah pembangunan semula industri aeroangkasa

19 Mac 2021

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus membantu peserta industri aeroangkasa tempatan untuk mempertingkatkan daya tahan mereka menerusi pengenalan teknologi terkini dan transformasi digital seiring dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong, berkata satu program pembangunan berstruktur akan dirangka oleh Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) sebagai Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Negara yang menekankan kemajuan ekosistem tempatan, pelaksanaan Industri 4.0 dan pembangunan profesional aeroangkasa generasi akan datang.

“Menerusi inisiatif ini, rantaian bekalan aeroangkasa tempatan dijangka dapat diperkukuh selain menambah baik struktur kos dan mengekalkan daya saing mereka di peringkat global,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM50 juta yang diumumkan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) akan terus menyokong pemulihan industri aeroangkasa serta digunakan bersama untuk peralatan perubatan.

Berlandaskan inisiatif itu, NAICO sedang mengenal pasti bidang berpotensi untuk Malaysia membida dan memperoleh pakej kerja baharu dari pengeluar peralatan tulen (OEM), syarikat peringkat satu dan penyedia perkhidmatan global, katanya.

Lim berkata, geran padanan juga ditawarkan di bawah inisiatif itu kepada syarikat aeroangkasa yang berjaya meraih kontrak atau pakej kerja baharu yang dapat disediakan oleh rantaian bekalan tempatan selain mengekalkan pekerjaan bagi tenaga kerja mahir.

Beliau berkata, justeru, MITI menggalakkan syarikat peringkat satu dan dua bekerjasama dengan pembekal masing-masing selain mendorong pembekal asing mereka untuk mempertimbangkan keputusan melabur di Malaysia menerusi penubuhan anak syarikat atau usaha sama dengan rakan kongsi Malaysia.

“MITI dan agensinya akan memudahkan usaha itu dengan menyediakan pakej insentif menarik termasuk bantuan berkaitan projek penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan modal insan,” katanya.

Pada 2019, industri aeroangkasa Malaysia mencatatkan perolehan sebanyak RM16.2 bilion dengan 27,500 pekerja berkemahiran tinggi berkhidmat dalam industri.

Perkembangan positif itu dipacu oleh pertambahan jumlah aktiviti dalam perniagaan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih, dengan bahagian pasaran sebanyak 49 peratus manakala segmen pembuatan (komponen struktur udara dan enjin) menyumbang 47 peratus bahagian pasaran.

“Di peringkat global, Malaysia diwawarkan sebagai negara yang menghasilkan produk aeroangkasa berkualiti tinggi untuk peneraju aeroangkasa dunia seperti Airbus, Boeing, Rolls-Royce, Safran, Honeywell dan Thales,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon