Momentum pelaburan di Malaysia dijangka terus rancak
11 Jan 2022
Aktiviti pelaburan di Malaysia dijangka meneruskan momentum positif tahun ini dengan pelabur melihat prospek lebih jelas berhubung pembukaan semula ekonomi domestik dan aktiviti pembinaan yang lebih tinggi.
Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Bank, Edward Lee, berkata bank itu melihat minat pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dalam sektor pembuatan meskipun semasa COVID-19, dengan sektor elektrik & elektronik (E&E) meraih minat majoriti pelabur sepanjang sembilan bulan tahun lalu.
“Dari aspek pelancongan pula, Standard Chartered Bank melihat pemulihan berperingkat dalam pendapatan selepas penutupan sempadan menyebabkan pendapatan bersih sektor perjalanan merosot,” katanya pada sidang media maya Taklimat Penyelidikan Global Standard Chartered Bank 2022, hari ini.
Turut serta adalah Ketua Penyelidik Pertukaran Asing ASEAN dan Asia Selatan, Divya Devesh.
Sementara itu, Lee berkata, ekonomi Malaysia berkembang 6.2 peratus tahun ini disokong persekitaran berkaitan COVID-19 yang bertambah baik yang membuka jalan ke arah pembukaan semula ekonomi.
Katanya, penularan varian Omicron dan krisis bencana banjir yang melanda negara juga dijangka tidak memberi risiko besar kepada unjuran pertumbuhan Malaysia tahun ini.
“Pembukaan semula ekonomi global akan mengukuhkan permintaan luaran di mana ia akan menyokong eksport Malaysia dari tahun lalu sehingga ke 2022.
“Kami juga melihat permintaan domestik akan terus melonjak tahun ini dan memainkan peranan penting meskipun ia masih di bawah paras sebelum pandemik dengan prospek pekerjaan dan penggajian juga lebih baik,” katanya.
Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia oleh Standard Chartered itu selaras dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022 dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dijangka dipacu pembukaan semula aktiviti ekonomi dan langkah pembendungan penularan COVID-19 akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus tahun ini disokong pemulihan permintaan luaran dan domestik.
Menurut bank pelaburan dan firma penyelidik tempatan pula, prestasi ekonomi Malaysia dijangka lebih baik dengan berkembang antara 5.2 peratus hingga 6.0 peratus pada 2022 didorong oleh pemulihan berterusan dalam ekonomi domestik serta pertumbuhan berterusan permintaan luaran.
Prospek lebih baik ekonomi negara diselubungi ancaman penularan Omicron, varian terbaharu COVID-19.
Sementara itu, Moody’s Analytics dan Fitch Ratings masing-masing mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus dan 6.3 peratus pada 2022.
Dalam aspek lain, Lee berkata, inflasi Malaysia dijangka menyederhana tahun ini, namun bencana banjir baru-baru ini menimbulkan risiko pada awal 2022 dengan jangkaan inflasi teras meningkat.
“Risiko menaik inflasi disebabkan gangguan rantaian bekalan dan harga tenaga yang tinggi,” katanya.
Menurut Standard Chartered Bank, normalisasi dasar monetari dijangka bermula suku ketiga 2022 dengan BNM diramalkan akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.5 peratus hingga 3.0 peratus pada 2023 daripada paras terendah 1.75 peratus ketika ini.
“Ruang fiskal Malaysia juga terhad disebabkan had siling statutori hutang dengan jangkaan ia berkurangan bermula 2023 tetapi kekal di atas 60 peratus daripada KDNK,” katanya.
Sementara itu, mengenai ringgit, Divya berkata, Standard Chartered kekal neutral dengan pergerakan mata wang tempatan itu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Kami menjangkakan harga komoditi yang lebih tinggi akan terus memberi sokongan kepada ringgit untuk didagangkan pada jajaran RM4.15 berbanding dolar AS bagi tahun ini dan 2023,” katanya.
Sumber: Berita Harian