NBCT diwartakan sebagai Zon Perdagangan Bebas
29 Jan 2021
Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) dekat sini akan diwartakan sebagai Zon Perdagangan Bebas mulai 1 Februari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng.
Pewartaan berkenaan diharapkan akan berkembang maju di peringkat antarabangsa dan menjadi pilihan utama para pelabur asing, katanya.
“Langkah mewartakan NBCT sebagai Zon Perdagangan Bebas itu adalah usaha Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. Mereka bersetuju mewartakan NBCT sebagai Zon Perdagangan Bebas di bawah Akta Zon Bebas 1990,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Zon Bebas terbahagi kepada Zon Perdagangan Bebas untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan komersial, manakala Zon Perindustrian Bebas dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pengilangan.
Pewartaan itu dijangka mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan mendorong industri pembuatan domestik, katanya.
Tan berkata SPPP dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan berusaha meningkatkan perkhidmatan pelabuhan supaya dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk menggunakan pelabuhan berkenaan serta menarik syarikat asing untuk menubuhkan kilang di Pulau Pinang.
Syarikat asing dapat menggunakan kemudahan yang disediakan di Zon Perdagangan Bebas seterusnya dieksport semula ke luar negara, syarikat-syarikat asing dapat menggunakan kemudahan yang disediakan di Zon Perdagangan Bebas dan seterusnya di eksport semula ke luar negara, katanya.
“Oleh kerana mereka dapat menikmati perkhidmatan tanpa bayaran duti kastam, duti eksais, cukai jualan atau cukai perkhidmatan kecuali bagi barang tertentu di bawah Perintah Zon Bebas (Pengecualian ke atas barang-barang dan perkhidmatan) 1998, barangan yang dieskport dijangkakan pada harga yang lebih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, SPPP juga akan mengambil langkah-langkah komprehensif untuk menarik para pelabur asing supaya datang mengembangkan sektor perdagangan di zon tersebut.
“Oleh kerana Zon Perdagangan Bebas menyediakan kemudahan komersial termasuk perkhidmatan penghantaran dan penyimpanan yang cekap serta dasar pemberian insentif, kami yakin banyak pelabur dari seluruh dunia akan datang ke sini.
“Mereka dapat menjalankan aktiviti- aktiviti nilai tambah yang dibenarkan seperti memecah pukal, menggred, pembungkusan semula, melabel semula, transit dan mengeksport semula,” katanya.
Sumber: Bernama