NCIA bantu pembangunan ladang tenusu bersepadu canggih di Chuping - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NCIA bantu pembangunan ladang tenusu bersepadu canggih di Chuping

NCIA bantu pembangunan ladang tenusu bersepadu canggih di Chuping

29 Mac 2022

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) membantu dalam memudahkan pembangunan ekosistem bakat untuk menampung pembangunan projek ladang tenusu berskala besar di Lembah Agro Chuping di Zon Ekonomi Tani (NAEZ), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Projek yang akan dilaksanakan oleh FGV Holdings Bhd, Felcra Bhd serta  pengeluar makanan dan tenusu yang terbesar di Qatar, Baladna QPSC berpotensi memberikan hasil lumayan susulan pemeteraian memorandum kerjasama (MOC) antara ketiga-tiga pihak pada 2019.

NCIA  dalam satu kenyataan berkata  ia juga akan menyesuaikan insentif cukai dan menyediakan platform yang diperlukan bagi pemindahan teknologi untuk melancarkan projek.

Kajian kebolehlaksaan  untuk projek itu telah ditauliahkan oleh pihak-pihak yang berkolaborasi dan disasarkan selesai menjelang Jun 2022 serta  pengeluaran dijangka bermula pada 2024.

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan ketika menggariskan kepentingan projek itu menjelaskan apabila operasi di Lembah Agro Chuping, Perlis berjalan sepenuhnya, projek itu akan berada di landasan untuk menjadi hab tenusu terbesar di ASEAN.

“Terdapat keperluan kritikal untuk menghasilkan susu segar berkualiti secara tempatan bagi memberi manfaat kepada imbangan perdagangan negara melalui penggantian import dan dengan itu mempengaruhi nilai pertukaran mata wang asing sambil menyediakan susu segar yang berpatutan, berkhasiat untuk penduduk muda yang semakin meningkat dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  dalam satu kenyataan hari ini berkata projek berkenaan yang dibangunkan di atas kerjasama strategik ini akan memberi  peluang yang besar kepada Malaysia dan Qatar untuk meningkatkan cadangan nilai Malaysia dalam industri makanan serta yang lebih penting, memastikan keselamatan makanan di rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diiringi oleh Mohamed Azmin telah melawat Fasiliti Tenusu Baladna yang serba canggih, yang merupakan salah satu ladang ternakan yang terbesar di Qatar, pada akhir lawatan rasmi tiga hari ke negara teluk itu mulai 27 hingga 29 Mac.

Menurut NCIA, kemudahan tenusu bersepadu itu direka bentuk sehingga mampu menyesuaikan iklim dalamannya dengan menggunakan teknologi bertaraf dunia serta sistem pengurusan kualiti.

Kemudahan tersebut akan mempunyai keupayaan untuk menghasilkan 100 juta liter susu segar menjelang tahun pertama operasi di Lembah Agro Chuping yang terletak bersempadan dengan Thailand dan akan mewujudkan lebih daripada 2,000 pekerjaan semasa fasa awal tahun pertama operasi.

NAEZ adalah pendekatan pembangunan baharu oleh NCER bagi memacu kemajuan Malaysia dalam industri makanan tani dan memastikan kejayaan agenda keselamatan makanan negara.

Inisiatif itu dibuat dengan pendekatan makro holistik yang menggabungkan rantaian nilai secara menyeluruh yang disepadukan dalam zon pembangunan NAEZ serta mampu meningkatkan keluaran dalam negara kasar sebanyak RM3 bilion hingga RM4 bilion termasuk mewujudkan lebih daripada 12,000 pekerjaan dan peluang keusahawanan selain, mengurangkan import sehingga RM2.8 bilion.

Agensi itu menjelaskan ladang tenusu yang bersifat “dari rumput ke dalam gelas  itu” akan meningkatkan bekalan susu segar tempatan dengan menggandakan pengeluaran dan mengurangkan import, serta memangkinkan sektor hiliran tempatan yang akan melibatkan perkhidmatan sokongan seperti pembotolan, pembungkusan, logistik dan ekopelancongan.

Projek itu menyediakan potensi limpahan ekonomi seperti penyediaan tanah bagi menghasilkan makanan haiwan yang diperlukan untuk pertanian tenusu, selain menggunakan kemudahan bersepadu sebagai hab untuk menyokong ladang kecil luar bandar dalam membangunkan ladang penggemukan ternakan serta lading makanan haiwan, tambahnya lagi.

NCIA berkata inisiatif ini merupakan langkah utama dalam pelan pengembangan antarabangsa Baladna yang merangkumi mereplikakan kejayaan syarikat dalam mengalihkan pergantungan import susu Qatar untuk kecukupan diri.

Pada masa ini, Baladna mengeksport produknya ke negara-negara seperti Yemen, Afghanistan, Iraq dan Oman, ia juga sedang meninjau pasaran termasuk ASEAN, dengan Malaysia khususnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon