NCIA berjaya tarik pelaburan RM2.2 bilion di Perak
12 Mei 2023
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM2.2 bilion di Perak hasil kerjasama dengan kerajaan negeri, serta agensi pelaburan persekutuan dan negeri, peningkatan 24.3 peratus berbanding tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam kenyataan hari ini berkata dengan jumlah pelaburan ini juga, ia berjaya mewujudkan 3,816 pekerjaan, meningkat 28.5 peratus berbanding tahun lalu.
Beliau berkata, Perak berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran RM4.2 bilion pelaburan yang diluluskan dan 3,780 pewujudan pekerjaan untuk 2023.
“Menjelang 2023, kami (kerajaan negeri) optimis terhadap prospek ekonomi di negeri ini dengan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan utama dan pembangunan industri baharu seperti ekonomi digital dan gig.
“Dengan sokongan inisiatif yang dibangunkan dan dikendalikan oleh NCIA, kami yakin Perak akan terus maju dan memberi peluang kepada rakyat dan komuniti perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Saarani mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, berkata NCIA telah memperkenalkan pelbagai program modal insan bagi meningkatkan kemahiran bakat tempatan untuk golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
Beliau berkata, NCIA melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program peningkatan kemahiran, latihan amali dan program bimbingan untuk membantu PKS mengekalkan bakat melalui kaedah inkubator, pemecut dan ruang kerja bersama bagi membantu golongan PKS mengakses sumber yang diperlukan.
“NCIA telah melaksanakan beberapa program untuk menyokong PKS dan meningkatkan kemahiran bakat yang selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“Antaranya Dana Usahawan (DU@NCER) yang menyediakan bantuan pembiayaan kepada PKS membantu membangunkan perniagaan mereka yang memfokuskan kepada sektor industri teras di NCER,” katanya.
Mohamad Haris berkata, NCIA dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) telah memulakan Projek Lata Kinjang bertujuan menangani kemiskinan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dengan menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang (KOALK).
Beliau berkata, KOALK ialah sebuah koperasi yang dilantik sebagai pengendali utama Taman Eko Rimba Lata Kinjang bagi menjana pendapatan mampan daripada aktiviti dan kemudahan eko-pelancongan.
“Taman Eko-Rimba Lata Kinjang, dengan pelbagai tarikan eko-pelancongan seperti air terjun, tapak perkhemahan, kemudahan perkelahan dan infrastruktur asas lain telah dibuka sejak Ogos lalu.
“Sehingga Februari tahun ini, Lata Kinjang menerima lebih 57,000 pengunjung tempatan dan asing manakala lebih daripada 1,400 penduduk tempatan dari tujuh buah kampung sekitar telah mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi yang dijana oleh kemasukan pelancong ke taman air terjun itu,” katanya.
Sumber: Bernama