NCIA dan Pure Harvest dari UAE majukan hab pertanian pintar di Chuping
31 Mac 2022
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Malaysia (NCIA) telah menandatangani surat niat dengan Pure Harvest Smart Farm dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk membangunkan pusat teknologi pertanian pintar berskala besar di Lembah Agro Chuping, Perlis.
Lembah Agro Chuping merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Tani (NAEZ) Zon Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama itu sejajar dengan seruan kerajaan untuk memajukan dan mempromosikan pertanian pintar seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Kerjasama antara NCIA dan Pure Harvest dalam memanfaatkan kepakaran masing-masing bagi membangunkan kemudahan pertanian pintar bersepadu di Zon Ekonomi Tani NCER (NAEZ) adalah seiring dengan hasrat kerajaan untuk memodenkan dan mempromosikan pertanian pintar seperti yang digariskan di bawah RMK12,” katanya semasa dalam lawatan rasmi ke Dubai, UAE hari ini.
Mengulangi nada Ismail Sabri, Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata kerjasama itu juga adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER (SDP) 2021-2025.
“Ia akan menyediakan NAEZ dengan teknologi yang diperlukan dan pengetahuan untuk menjadi pemboleh ubah bagi membentuk semula sektor pertanian domestik di Malaysia menjadi industri tani berteknologi moden dan mampan.
“Ini akan memastikan kelangsungan jangka panjang dan kualiti hidup masyarakat setempat selain menangani masalah keselamatan makanan untuk negara,” katanya.
Pure Harvest mempunyai kepakaran dalam pertanian pintar yang menghasilkan tanaman bernilai tinggi pada kualiti premium.
Syarikat UAE itu berhasrat untuk melabur di NAEZ memandangkan Malaysia terletak secara strategik di pintu masuk Asia Tenggara.
NAEZ merupakan respons NCER terhadap Dasar Agromakanan Negara (DAN) yang bertujuan untuk memacu kecekapan industri makanan tani terutamanya daripada segi memacu produktiviti serta daya saing di seluruh rantaian nilai industri.
DAN dijangkakan akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejumlah RM3 bilion hingga RM4 bilion, mewujudkan lebih daripada 12,000 peluang pekerjaan dan keusahawanan serta mengurangkan import sebanyak RM2.8 bilion.
Sumber: Bernama