NCIA tarik pelaburan baharu RM2.34 bilion di Perak
04 Okt 2021
Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menarik pelaburan berimpak tinggi bernilai RM2.34 bilion hasil kerjasama secara kolektif bersama lima lagi syarikat pelabur baharu di Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia sekali gus mencipta 4,400 peluang pekerjaan yang akan memacu pemulihan sosioekonomi negeri.
Katanya, pihaknya mengalu-alukan pelaburan oleh Eco Medi Glove Sdn Bhd, Onetexx Sdn Bhd, PNA Technologies Sdn Bhd, HICOM-Teck See Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Dynacare Sdn Bhd.
“Bagi mempercepatkan proses pemulihan susulan pandemik COVID-19, kerajaan negeri Perak akan terus memfokuskan usaha menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi untuk menjana ekonomi termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu Negeri Perak (Mesyuarat JPN) di sini hari ini.
Saarani kemudiannya menyaksikan Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak bersama NCIA secara maya.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan dan
Pembangunan Koridor negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.
Saarani berkata, NCIA menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan Negeri Perak untuk merancang, melaksana dan menyelaras pembangunan di wilayah yang kurang membangun seperti di Kamunting, Kampung Gajah, Tanjung Malim dan Sitiawan.
Menurutnya, kerajaan negeri menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terutama dalam aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), pendigitalisasi dan penerimagunaan teknologi baharu selaras dengan Pelan Pembangunan Perak 2040.
“Saya memohon NCIA agar dapat menarik lebih banyak pelaburan yang berimpak besar ke negeri ini. Negeri Perak perlu memberi tumpuan kepada pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk getah terutama sarung tangan.
“Ini memandangkan Perak mempunyai kelebihan dalam industri ini berbanding negeri lain. Promosi berkaitan pelaburan ke ini perlu diperluaskan agar menjadi destinasi tumpuan pelaburan di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, ekosistem perniagaan dan infrastruktur yang komprehensif, jumlah tenaga kerja terlatih mencukupi, insentif fiskal menarik, NCIA sebagai pemudahcara pelaburan melalui pelbagai program insentif yang di tawarkan, syarikat yang melabur kini lebih yakin dengan keputusan untuk memperluas operasi di negeri ini.
Sementara itu, Jebasingam berkata, NCIA mengumumkan penambahbaikan kepada program insentif merangkumi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Tax Incentives (NTax@NCER), NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan Dana Usahawan (DU@NCER) dalam usaha menyokong komuniti perniagaan di negeri ini dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19.
Katanya, melalui program DU@NCER, NCIA menyediakan geran pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di Perak bagi mengatasi implikasi ekonomi terkesan oleh pandemik.
“Sehingga kini, program DU@NCER sudah menyokong pembangunan 13 usahawan PKS tempatan dengan jumlah pelaburan baharu RM135 juta dan mewujudkan 520 peluang pekerjaan baharu.
“Bagi memastikan negeri Perak kekal stabil dalam pertumbuhan sosioekonomi, NCIA akan terus komited dalam melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik, dan berpaksikan rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat,” katanya.
Sumber: Berita Harian