Negara berada pada unjuran yang baik untuk capai sasaran ekonomi yang ditetapkan
24 Feb 2022
Perkembangan ekonomi dan jumlah pelaburan langsung asing pada 2021 menunjukkan bahawa negara berada pada landasan dan unjuran yang baik untuk mencapai sasaran ekonomi yang ditetapkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2021 berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020.
“Walaupun, seperti saya sebutkan tadi (COVID-19) telah memberi impak besar kepada ekonomi, kita masih boleh berkembang,” katanya.
Malah, katanya jumlah pelaburan langsung asing (FDI) turut merekodkan peningkatan pada 2021 iaitu melebihi RM50 bilion berbanding 2020 sebanyak RM14.6 bilion.
“Indikator positif ini memberi gambaran bahawa negara sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi seterusnya mencapai unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus hingga 6.5 peratus bagi tahun 2022 selari dengan unjuran yang dibuat oleh IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia,” katanya pada majlis makan malam “Keluarga Malaysia” di Kemboja pada Rabu.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke Kemboja sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos tahun lepas.
“Oleh itu, dari segi ekonomi, kita menyasarkan untuk terus meningkat dan kerajaan akan terus mengambil pelbagai tindakan untuk memastikan ekonomi kita terus berkembang,” katanya.
Antara lainnya, katanya dalam usaha memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang terkesan, kerajaan telah menyediakan bantuan pembiayaan perniagaan melalui program Semarak Niaga bernilai RM40 bilion baru-baru ini.
“Program ini khusus untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memulihkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Ismail Sabri menjelaskan program itu merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.
Selain itu, katanya Jamin Kerja apabila kerajaan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan untuk memastikan kadar pengangguran dikurangkan dan nasib rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik akan terbela.
Semua inisiatif ini dijangka memberi impak menjelang akhir tahun ini, tambah beliau.
Bagi ahli perniagaan Malaysia yang berada di Kemboja, Ismail Sabri menggalakkan mereka untuk terus merebut peluang berdagang dengan Kemboja dan menaikkan jumlah dagangan dua hala.
“Saya ingin menggalakkan ramai lagi ahli-ahli perniagaan dan pelabur Malaysia untuk bergiat lebih aktif lagi di sini, terutamanya dalam industri halal. Malaysia harus mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan industri halal di Kemboja,” katanya.
Katanya komuniti Muslim Melayu Champa di Kemboja berjumlah 800,000 orang.
“Ini adalah satu potensi dan produk halal ini bukan sahaja untuk orang Islam tetapi masyarakat bukan Islam juga menerimanya kerana ia adalah berteraskan kebersihan,” katanya.
Terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia menetap di Kemboja, dan daripada jumlah itu, kira-kira 2,000 orang berada di ibu kota Phnom Penh dan terlibat terutamanya dalam pelbagai perniagaan sejak 1994.
Antara syarikat Malaysia yang beroperasi di sini ialah Maybank, CIMB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank, Smart Axiata, Muhibbah Engineering, Sunway International, Nagaworld dan Leader.
Jumlah perdagangan Kemboja-Malaysia melepasi US$500 juta (US$1 = RM4.18) pada 2021, meningkat sebanyak 13.14 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut laporan, eksport Kemboja ke Malaysia berjumlah US$101 juta pada 2021, meningkat sebanyak 2.62 peratus daripada US$98 juta pada 2020 manakala import bernilai US$399 juta, melonjak sebanyak 16.16 peratus tahun ke tahun daripada US$343 juta pada tahun sebelumnya.
Sumber: Bernama